Kucing perlu vaksin juga

A
A
A

TENGOK, kurus benar kucing tu. Tak ada orang beri makan ke?” Isteri saya membebel setiap kali ke pasar pagi.

“Tak beri makan kucing ke?” tanya isteri saya kepada seorang penjual ikan.

“Beri juga. Ada yang makan, ada yang tak makan. Kucing pun memilih agaknya,” jawab penjual ikan.

“Makin banyak kucing berkeliaran sekarang,” kata isteri saya lagi sambil mata melilau memantau keadaan.

“Ramai orang buang sejak PKP tahun lepas. Tuan punya dah tak ada bajet nak jaga agaknya,” kata penjual ikan yang lain pula.

Selesai membeli-belah, dalam perjalanan ke kereta, isteri menjerit pula, “Hah! Tengok tu. Kena langgarlah tu.” Saya memandang bangkai kucing yang kelihatan masih baru. Selalu juga terserempak dengan bangkai kucing kalau ke pasar.

Itu belum dikira tahi kucing lagi. Kadangkala kena berhati-hati bila berjalan. Kalau tersilap langkah terpijak tahi kucing, masuk kereta harum semerbaklah jawabnya.

Memang isteri saya agak prihatin dengan persekitaran. Lebih-lebih lagi melibatkan alam sekitar termasuk haiwan-haiwan. Dia juga sangat aktif dengan aktiviti NGO yang melibatkan kebersihan alam sekitar.

Artikel Berkaitan:

Kami juga ada membela seekor kucing yang dibawa dari rumah lama. Sebelum ini, ibu kucing tersebut suka bertandang ke rumah kami.

Biasanya datang untuk berak. Dan kami dengan senang hatinya akan membersihkan tahi kucing tersebut. Selang beberapa hari, kucing itu datang beranak pula, melahirkan tiga ekor anak kucing. Dua sudah mati, tinggal seekor lagi.

Kami membawa seekor ini ikut berpindah ke rumah lain. Sebelum kami pindah ada anak jiran datang memberitahu pula, “Pak cik, kucing yang selalu datang ke rumah pak cik tu kucing saya.” “Ya ke? “Ya kucing saya,” kata budak berumur lapan tahun yang datang berbasikal.

“Kucing tu pak cik jagalah. Pak cik dah bawa ke klinik cucuk. Kenapa kamu tak jaga? Itu kira kucing pak ciklah,” kata saya.

Dia tidak puas hati pula. Katanya hendak mengadu kepada emaknya nanti. Untuk tidak melanjutkan pergaduhan dengan budak lapan tahun, saya mengizinkan dia mengambil ibu kucing semula dan berpesan untuk menjaganya baik-baik.

“Anaknya saya simpan,” kata saya yang dipersetujui oleh budak tersebut.

Kawal populasi

Apabila pindah, saya membawa anak kucing itu bersama. Sekarang sudah ada lima ekor kucing. Itu pun disebabkan orang yang menyewa rumah sebelum saya yang menjaganya.

Apabila berpindah, mereka tinggalkan kucing tersebut. Dan sekali lagi dengan suka hatinya kami menjaga kucing tersebut bersama tiga ekor anaknya pula. Kerap kali juga kami membawa ibunya untuk membuat pemeriksaan doktor.

Minggu lepas, isteri saya memberitahu dia akan bermesyuarat dengan seorang Exco Kedah. Katanya, dia akan membentangkan kertas cadangan berkenaan masalah kucing dan anjing.

Mesyuarat tersebut telah pun dijalankan beberapa hari lepas. Kata isteri saya, dia sudah mencadangkan kepada Exco untuk menjalankan Program Sayangi Haiwan-Haiwan. Dalam program tersebut dia mencadangkan pengawalan populasi kucing dan anjing di Negeri Kedah.

Ia bertujuan untuk memenuhi Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772). Dan program ini akan bekerjasama dengan beberapa agensi. Saya hanya mengangguk-angguk sahaja. Kemudian isteri saya telah menerangkan hasil mesyuaratnya dengan penuh suka cita.

Dia berharap program ini akan berjaya melindungi kebajikan haiwan. Saya ada bertanya juga bagaimana untuk mengawal populasi dan kebajikan haiwan-haiwan tersebut.

“Kita akan jalankan program pemandulan, rawat kucing dan vaksin,” katanya dengan penuh bersemangat.

“Oh kena vaksin juga? Nanti kena buat aplikasi MySejahtera untuk anjing dan kucing pula ya?” tanya saya dengan penuh bersemangat juga.

Entah kenapa, tiba-tiba dia marah pula. Saya tersilap soalan agaknya.

* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com