Peniaga Pasar Payang akan berpindah

Pintu masuk ke Pasar Payang lama yang bakal diroboh dan dibina semula.
Pintu masuk ke Pasar Payang lama yang bakal diroboh dan dibina semula.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kira-kira 1,000 peniaga yang berniaga di Pasar Besar Kedai Payang, di sini akan berpindah ke lokasi sementara (Pasar Payang 2) bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan di tapak sedia ada.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusof, 56, berkata, kesemua peniaga kini melalui taklimat mengenai proses perpindahan yang dijangka bermula April atau Mei depan.

"Taklimat selama tiga hari ini bagi memberi penerangan kepada peniaga-peniaga secara berperingkat mengenai lokasi sementara itu.

"Ini sebagai platform kepada para peniaga untuk mengaju pelbagai kemusykilan kepada pihak berkaitan," katanya ketika ditemui pada majlis taklimat itu, hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed, pegawai Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan jurubina yang terlibat dalam pembinaan lokasi sementara.

Antara laluan ke Pasar Payang yang lama.
Antara laluan ke Pasar Payang yang lama.

Dalam perkembangan sama, katanya, beliau berharap lokasi sementara itu mampu menempatkan kesemua peniaga yang berniaga di Pasar Payang.

"Difahamkan, keluasan lokasi baharu nanti cukup-cukup untuk menempatkan peniaga sedia ada.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kita harap semua peniaga sedia ada akan ada tempat untuk berniaga dan tiada seorang pun yang tertinggal," katanya.

Beliau berkata, tempoh penempatan sementara itu dijangka selama dua tahun setengah.

"Dalam tempoh itu, Pasar Payang lama akan diroboh dan dibuat semula dengan fasiliti yang lebih lengkap.

"Kita juga jangka jumlah pengunjung akan bertambah selepas ia siap kerana difahamkan Pasar Payang baharu lebih luas dan ada lokasi lapang disediakan selain pelbagai kemudahan," katanya

Projek di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dianggarkan menelan kos kira-kira RM78 juta dengan RM26 juta bagi pembinaan lokasi sementara.

Manakala, kos bagi pembinaan semula Pasar Payang jangka menelan belanja RM41 juta.

Projek pembinaan semula Pasar Payang dijangka siap pada 25 Januari 2021.