Mengapa mahu tangguh undi 18?

A
A
A

ANTARA perkara paling demokratik secara bi-partisan yang pernah dilakukan dalam Parlimen negara ialah persetujuan untuk menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun (undi 18).

Sejarah tercipta apabila undi 18 telah diluluskan dengan majoriti lebih 2/3 (dengan 211 undian menyokong) sekali gus diharap mampu membuka politik dan demokrasi negara menjadi luas.

Walaupun dilihat sedikit terlewat berbanding negara serantau yang lain, dari perspektif pendemokrasian di Malaysia keputusan ini sememangnya satu langkah yang sangat tepat.

Dalam ruangan ini dua tahun lalu, saya telah pun menulis tentang perlu atau tidak untuk menurunkan umur mengundi itu.

Untuk rekod, penulisan tersebut secara ringkas bersetuju dengan keperluan menurunkan umur mengundi atas dasar melindungi dan mengupayakan hak berpolitik warga serta menyokong usaha menambah baik perjalanan demokrasi dan proses pendemokrasian negara.

Cumanya dalam penulisan itu juga turut sama dibangkitkan ialah bagaimana sistem dan institusi politik negara yang tidak bersedia dan kondusif dilihat tidak mampu untuk menyokong atau memangkin sosialisasi serta partisipasi aktif orang muda dalam politik.

Sebagai contoh, bagaimana institusi seperti sekolah, universiti atau institusi pengajian tinggi masih tidak bersedia kepada hak-hak berpolitik secara sivil.

Begitu juga dimensi perundangan dan kesiapsiagaan agensi yang terbabit seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) serta Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang turut disentuh.

Artikel Berkaitan:

Namun, isu-isu tersebut hanyalah bersifat praktikal sahaja. Ia masih boleh diselesaikan dengan baik walaupun mengambil sedikit masa.

Sebab itu terkejut juga apabila ada tokoh politik yang mengatakan bahawa undi 18 tidak dapat diteruskan disebabkan beberapa faktor seperti tidak bersedia, tidak praktikal serta tidak kondusif dengan keadaan semasa.

Bukan apa, jawapan klise seperti itu sepatutnya tidak timbul. Kita faham perkara baharu serta melakukan perubahan akan mengambil sedikit masa. Tetapi menghentikan terus sebarang usaha penambahbaikan demokrasi negara bukanlah satu tindakan yang bijak, apatah lagi ia sudah diluluskan oleh Parlimen.

Harus diingat pembaharuan dalam sistem pilihan raya selalunya akan menghasilkan institusi politik yang lebih baik dan demokratik. Jadi menurunkan umur mengundi itu juga adalah sebahagian daripada proses pembaharuan tersebut.

Dengan meluaskan hak mengundi kepada orang muda, kita akan membesarkan ruang penyertaan politik, membentuk budaya politik yang lebih segar dan terbuka serta mengukuhkan kebebasan sivil rakyat.

Sebab itu penulis bersetuju dengan pandangan Profesor Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff dalam hantaran beliau di Facebooknya yang melihat isu undi 18 harus dilihat dari perspektif kebaikan bernegara.

Pembangunan politik seharusnya digerakkan menerusi partisipasi aktif orang muda dengan galakan datang daripada pemimpin sedia ada. Kalau ini tidak berlaku, ada kemungkinan kita bakal menghumban negara ke arah kereputan politik.

Ketika kebanyakan negara demokratik di dunia sudah lama mengiktiraf hak mengundi ketika berusia 18 tahun sebagai sebuah hak sivil warganegara serta sebahagian daripada hak asasi manusia, maka mengapa kita pula mahu mengambil suatu langkah melawan arus atas alasan yang tidak konkrit dan praktikal sedemikian?

Dalam hal ini, isunya bukanlah untuk membentuk satu landskap politik yang pro anak muda semata-mata.

Perkara paling penting dalam isu ini ialah sejauh mana sesebuah negara itu berusaha untuk melindungi dan mengupayakan hak berpolitik warganya dan dalam masa sama, secara tetap menyokong sebarang usaha untuk menambah baik perjalanan demokrasi dan proses pendemokrasian sedia ada.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)