Takut berkata ‘tidak ok’

A
A
A

SEMINGGU dua ini, kerap sungguh dilaporkan menerusi media berkaitan cubaan membunuh diri. Ada yang sempat diselamatkan dan ada juga berakhir dengan kematian.

Bagi mereka yang telah meninggal dunia, seribu persoalan yang ditinggalkan. Bagi yang masih hidup, seribu tanggapan menerjah mereka. Natijahnya, keadaan yang sudah sukar menjadi bertambah perit.

Justeru, bukan mudah menangani persoalan itu jika kita masih bersifat tidak terbuka dan suka mencari kesalahan orang lain. Apa yang penting kita harus mendalami punca hal tersebut berlaku.

Menurut perspektif psikologi, kita memiliki kecenderungan untuk menjadikan diri kita dan orang lain berasa bahagia.

Oleh itu, bagi mengurangkan salah faham orang lain terhadap kita, maka kita berasa senang untuk berkata, ‘ok' walaupun kita sebenarnya ‘tidak ok’ pada hari tersebut.

Tambahan pula dengan budaya masyarakat yang suka ‘merisik’ kelemahan seseorang, maka bertambahlah lagi kerahsiaan diri kita untuk berkongsi dengan orang lain.

Sebetulnya, tiada siapa pun berasa selesa untuk menceritakan masalah mereka kepada orang lain. Pun begitu, jika kita berterusan begitu, emosi kita akan tersekat dan tidak akan berkembang.

Walaupun kita berasa normal dan tidak sakit apa-apa, namun sebenarnya secara tidak sedar telah menyusutkan kesihatan mental kita.

Artikel Berkaitan:

Lantaran itu, kita berada dalam ‘perangkap emosi’ yang mendorong kita untuk berasa letih lesu, mudah marah, terlalu sensitif, mula menyendiri serta mengalami keresahan yang teruk. Justeru, kita harus berani dan melatih diri kita untuk berkata ‘tidak ok’ jika menghadapi sesuatu masalah.

Ingatlah, setiap kesakitan emosi yang berlaku kepada diri kita adalah bersifat sementara dan akan berlalu jua.

Justeru, kita tidak perlu memaksa diri untuk menjadi kuat bagi melawan perasaan tersebut, sebaliknya kita perlu jauhkan diri daripada sifat menghukum dan buruk sangka terhadap diri sendiri dan orang lain, fokus kasihkan diri sendiri, berterusan membuat kebaikan dan berserah hanya kepada ALLAH semata-mata.

Oleh itu, tidak mengapa jika kita berasa tidak ok dengan kesedihan kita, tidak ok dengan ketakutan kita, tidak ok dengan ketidakpastian kita, tidak ok dengan kemurungan kita serta tidak ok kerana berasa sepi dan berseorangan.

Apa yang penting kita tahu dan sedar, kita tidak ok dan berupaya menangani situasi ‘tidak ok’ tersebut.

Menurut perspektif Islam, usaha untuk membunuh diri adalah dilarang keras sama sekali.

Merujuk kepada hadis Nabi daripada Jundub RA, bahawa Nabi SAW bersabda, “Pada umat sebelum kalian, terdapat seorang yang cedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. ALLAH berkata: Hambaku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.” (Hadis Riwayat Bukhari). Rapuh

Pun begitu, kerana lemahnya iman serta begitu jauh dengan ALLAH SWT, maka kewajaran untuk membunuh diri lebih tinggi berbanding larangan keras tersebut.

Apa pun, hal itu adalah berkaitan dengan hati yang masih rapuh serta kurang bersih.

Menurut Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menerusi kitabnya Miftah Daris Saadah (Kunci kebahagiaan di dunia dan akhirat): “Hakikat hati bersih adalah hati yang berserah diri kepada Rabbnya dengan rasa cinta, takut terhadap siksa-Nya, serta berharap memperoleh rahmat-Nya. Dengan mencintai Dia, hilanglah rasa cinta kepada selain-Nya. Dengan merasa takut kepada Dia, hilanglah rasa takut terhadap selain-Nya. Dengan mengharap kepada-Nya, hilanglah semua harapan kepada selain Dia.”

Semoga kita berterusan mendekati ALLAH SWT agar melapangkan hati untuk meluahkan perasaan ‘tidak ok’ kepada insan yang memahami dan menutup aib kita.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis