X

Kindly register in order to view this article
!

‘Yang penting jaga SOP’

Ab Ghani
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) tidak menetapkan sebarang prosedur operasi standard (SOP) khusus berkaitan kehadiran penonton terutamanya membabitkan warga emas dan kanak-kanak ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia (Liga-M).

Sebaliknya, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, kedua-dua golongan berkenaan hanya tidak digalakkan hadir ke stadium bagi mengelak mereka mudah terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Memang semasa perbincangan SOP mengenai kemasukan penonton ke stadium dengan pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum ini, kami bersepakat supaya golongan warga emas dan kanak-kanak tidak digalakkan untuk hadir ke stadium.

“Ini sebenarnya merupakan peringatan awal kepada kedua-dua golongan berkenaan. Sepertimana yang kita ketahui, kanak-kanak ini tidak boleh duduk diam seperti orang dewasa, jadi agak sukar untuk mengawal pergerakan mereka.

“Satu lagi kena ingat jika dua golongan ini dijangkiti, ia kemungkinan terpalit juga dalam kalangan ahli keluarga mereka yang lain. Jadi dalam hal ini, masing-masing harus sentiasa beringat dan jangan langgar SOP,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

Pada Khamis, kerajaan telah membuat keputusan membenarkan kehadiran penonton ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga-M berkuat kuasa 1 April ini.

Dua aksi Liga Super - Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim pada 2 April serta pertemuan antara Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 3 April bakal menjadi projek perintis kemasukan penonton ke stadium.

“Bagi penyokong tegar yang tidak berisiko, bolehlah datang ke stadium manakala penyokong tidak tegar dinasihatkan mengikuti perlawanan secara langsung menerusi platform digital.

“Sekali lagi diingatkan, penyokong yang akan hadir ke stadium nanti tidak melanggar sebarang SOP yang ditetapkan. Kerajaan telah memberikan kebenaran masuk stadium, jadi jangan siakan-siakan peluang yang ada,” ujarnya.

Mengenai penjualan tiket pula, Ab Ghani berkata, penonton hanya boleh membeli dua tiket secara dalam talian dengan menyertakan nama penuh dan nombor MyKad semasa proses pendaftaran pembelian.

“Tiket ini tidak boleh ditukar milik kerana penonton perlu mengemukakan MyKad untuk semakan petugas di stadium. Untuk pemegang pas bermusim pula, terdapat tuntutan daripada mereka yang tidak dapat menyaksikan perlawanan Liga-M musim lalu kerana Covid-19.

“Jadi MFL memberikan kebenaran kepada mereka untuk menyaksikan perlawanan musim ini, cuma setiap pemegang pas bermusim itu perlu didaftarkan bagi membolehkan MFL memantau kemasukan ke stadium,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!