Melaka United FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata

Melaka United kini jatuh ke tangga ke-10 Liga Super selepas dikenakan pemotongan tiga mata oleh FIB Pelesenan Kelab MFL. - Foto Melaka United Football Club
Melaka United kini jatuh ke tangga ke-10 Liga Super selepas dikenakan pemotongan tiga mata oleh FIB Pelesenan Kelab MFL. - Foto Melaka United Football Club
A
A
A

MELAKA United FC dikenakan hukuman pemotongan tiga mata secara serta-merta atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan mereka.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif secara persidangan video bersama ahli jawatankuasa yang lain pada Jumaat.

Dalam mesyuarat tersebut, tiga kes telah dibincangkan iaitu membabitkan Melaka United FC selain dua pasukan Liga Premier - Sarawak United FC dan Kelantan FC.

Berhubung kes membabitkan Melaka United FC, pasukan tersebut pada tarikh akhir pertama - 31 Januari 2021 telah berjaya membuat pembayaran daripada tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut pelan jadual pembayaran.

Namun, bagi pembayaran tarikh akhir kedua, Melaka United FC telah didapati gagal menghormati jadual pembayaran yang dipersetujui dan ditetapkan sekali gus dikenakan hukuman pemotongan tiga mata.

Dalam pada itu, FIB berharap bahawa keputusan tersebut dijadikan teladan untuk memastikan Melaka United FC mematuhi jadual pembayaran yang ditetapkan pada masa akan datang.

Jika pasukan terbabit mengulangi kesalahan yang sama, perkara itu akan dibawa ke FIB untuk keputusan dan tindakan yang seterusnya.

Sementara itu, FIB mengambil maklum usaha dan komitmen Sarawak United FC dan Kelantan FC dalam menjelaskan tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.

Artikel Berkaitan:

Unit Pelesenan Kelab MFL akan terus memantau dan memastikan kedua-dua pasukan tersebut terus menunjukkan komitmen dalam menangani isu ini sehingga selesainya baki tunggakan berkenaan.