Isu ijazah: Mujahid desak Hadi tarik balik artikel

Paparan skrin kenyataan Mujahid di laman sosial Facebook, miliknya.
Paparan skrin kenyataan Mujahid di laman sosial Facebook, miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa membidas kenyataan dikeluarkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertajuk 'Ijazahnya ada, akalnya kerdil', hari ini.

Menurut beliau di laman Facebooknya, kenyataan tersebut ditulis dengan merujuk kepada sumber fitnah.

"Jika ulama mula merujuk kepada sumber fitnah untuk menulis, alangkah malangnya nasib ummah ini. Di mana nilai tabayyun yang diajar oleh al-Quran?," katanya yang turut menyertakan pautan kenyataan Abdul Hadi yang disiarkan Harakah Daily.

ARTIKEL BERKAITAN: Kontroversi ijazah: Inikah ukuran integriti Malaysia Baharu?

Dalam kenyataan yang turut disiarkan di Facebook miliknya itu, Abdul Hadi mengulas mengenai kenyataan seorang menteri yang didakwa membandingkan mereka yang tidak berijazah dengan Rasulullah SAW yang juga tidak berijazah.

"Saya ditunjukkan kenyataan seorang menteri yang dikatakan berijazah tinggi yang dibanggakannya dan menegaskan bahawa Nabi Muhammad SAW juga tiada ijazah. Kenyataannya boleh ditafsirkan dengan pelbagai maksud yang tersurat dan tersirat.

"Cuma sangat malang dan sesat lagi menyesatkan, kalau dibandingkan mereka yang didakwa tidak berijazah itu dengan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan tidak berijazah," kata Abdul Hadi.

Bagaimanapun, kenyataan Abdul Hadi itu tidak menyebut nama mana-mana menteri, atau menyertakan sebarang artikel berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, dalam hantaran berasingan oleh pentadbir (admin) akaun Facebook rasmi Mujahid, mendesak Harakah Daily menarik balik artikel yang didakwa berunsur tuduhan terhadap menteri itu.

"Sekali lagi diingatkan bahawa mana-mana pihak yang menyebarkan atau membuat tuduhan (fitnah) akan berhadapan dengan tindakan undang-undang.

"Harap media rasmi Pas menarik balik artikel berunsur tuduhan (fitnah) terhadap menteri, membuat permohonan maaf secara terbuka atau bersedia untuk menghadapi tindakan undang-undang," katanya.

Terdahulu, tersebar di media sosial satu kenyataan kononnya dikeluarkan Mujahid mengatakan Rasulullah SAW juga tidak memiliki ijazah.

Bagaimanapun, pentadbir Facebook Mujahid pada 10 dan 12 Februari lalu menafikan Mujahid mengeluarkan kenyataan sedemikian dan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyebarkan fitnah.