X

Kindly register in order to view this article
!

Tak sepatutnya rakan PH bantah: Mukhriz

Mukhriz (dua, kiri) ketika menerima laporan makmal peningkatan hasil negeri Kedah, yang berlangsung selama dua hari.
A
A

ALOR SETAR - Penyertaan tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO dalam Bersatu tidak sewajarnya menjadi isu mahupun dibantah rakan komponen PH.

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, perkara itu pernah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH sebelum ini, namun tidak secara khusus melibatkan mana-mana pemimpin.

Menurutnya, kemasukan tujuh Ahli Parlimen terbabit bukan sesuatu yang mengejutkan kalangan pemimpin PH.

“Secara umum, semua pihak tahu perkara ini kemungkinan boleh berlaku, apabila ada Ahli Parlimen menjadi wakil rakyat bebas. Ada sebahagian daripada mereka sudah nyatakan hasrat awal untuk sertai Bersatu dan hantar borang permohonan, bagi saya bukan sesuatu mengejutkan,” katanya, pada sidang media, selepas taklimat makmal peningkatan hasil negeri Kedah 2019, semalam.

Mukhriz berkata, kemasukan ahli yang ‘lompat parti’ bukan sahaja berlaku dalam Bersatu, malah parti komponen PH lain juga menerima bekas ahli parti lain.

“Perkara ni tidak hanya berlaku dalam Bersatu, parti lain pun ada terima wakil rakyat peringkat DUN. Malah sebelum ini, ada pemimpin parti komponen PH turut pelawa mana-mana yang lompat parti boleh sertai parti mereka,” katanya.

Mukhriz berkata demikian ketika mengulas kenyataan beberapa pemimpin parti komponen PH mempersoal kewajaran Bersatu menerima bekas pemimpin UMNO ke dalam parti itu.

Malah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Naib Presiden Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mahu perkara itu dibincangkan segera dalam mesyuarat Majlis Presiden PH, yang dijangka diadakan lebih awal daripada dijadualkan.

Ia susulan tindakan Bersatu kelmarin, menerima enam bekas Ahli Parlimen UMNO, iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) dan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Turut menerima kad keanggotaan Bersatu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menyertai parti itu hujung tahun lalu. Mukhriz berkata, kemasukan bekas pemimpin UMNO dalam Bersatu sepatutnya dilihat sebagai suatu kekuatan kepada PH, selain membuktikan parti yang pernah disertai mereka sudah gagal.

“Lompat parti berlaku sejak dulu lagi, setiap kali berlaku macam-macam komen. Bila ada yang lompat ke pihak mereka, mungkin tak timbul isu pula. Bila berlaku dalam Bersatu, macam-macam. Saya tak fikir ia cemburu, sebab kami pun sebahagian daripada PH, bila ada yang sertai PH sama ada Bersatu atau mana-mana parti, sepatutnya dilihat sebagai kekuatan untuk PH,” katanya.

Menurutnya, penghijrahan itu wajar dilihat secara positif di mana bekas ahli parti terbabit juga menolak sebuah gagasan yang gagal, dan beri keyakinan baharu kepada PH.

Mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang menganggap kemasukan tujuh ahli parlimen itu bukan melemahkan UMNO, sebaliknya melunturkan semangat penyokong PH, selain menyifatkan tindakan itu umpama mengutip ‘sampah’ dan bertentangan dengan mandat PRU14, Mukhriz menyifatkan ia sekadar pandangan peribadi Rafizi.

“Itu pandangan dia, kita pun ada pandangan kita,” katanya.

Mukhriz juga tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir ahli atau penyokong PH marah dan tidak berpuas hati dengan kemasukan bekas pimpinan UMNO, namun yakin tidak menjadi parah sehingga memboikot parti.

“Mungkin ada segelintir marah. Namun saya yakin ahli PH tak akan boikot rakan komponen sendiri mahupun kempen untuk menangkan calon PH di PRK Semenyih,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus