Tiga kanak-kanak melecur kaki selamatkan diri dalam kebakaran

Kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Parit Kedondong, Parit Jawa, Muar pada Jumaat.
Kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Parit Kedondong, Parit Jawa, Muar pada Jumaat.
A
A
A

MUAR - Tiga kanak-kanak melecur di kaki semasa menyelamatkan diri dalam kebakaran di sebuah rumah di Kampung Parit Kedondong, Parit Jawa di sini pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.35 petang, Nur Farishah, 12; Muhammad Firash, 7, dan Muhammad Yazid, 10, melarikan diri selepas menyedari kebakaran berlaku.

Seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Sabri, 5, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Penduduk kampung yang menyedari kejadian tersebut datang membantu tetapi api marak menyebabkan mereka meminta bantuan bomba.

Seramai 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar dibantu masing-masing sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT), Light Fire Rescue Team (LFRT), Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan utiliti Hilux dikejarkan ke tempat kejadian.

Ketua BBP Muar, Penguasa Kanan Penolong Bomba Mohd Jefri Jamal berkata, kebakaran melibatkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan 50 kaki x 25 kaki.

"Kemusnahan dianggarkan lebih kurang 95 peratus. Mangsa dihantar ke hospital berdekatan dengan menggunakan jentera EMRS.

"Dua daripada mangsa dipercayai adik-beradik. Semasa kejadian ibu bapa mereka tiada di rumah," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, operasi memadam kebakaran tamat pada jam 7 petang.