Persatuan sukan diberi tempoh hingga Jun

Mohamad Norza (dua dari kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2021 di Wisma Olimpik Malaysia pada Jumaat.. - Foto Bernama
Mohamad Norza (dua dari kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2021 di Wisma Olimpik Malaysia pada Jumaat.. - Foto Bernama
A
A
A

JAWATANKUASA Pemilihan Sukan SEA meminta persatuan sukan kebangsaan untuk menguji tahap dan prestasi atlet mereka sebelum disenaraikan ke temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung pada 21 November hingga 2 Disember.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, persatuan sukan kebangsaan diberikan sehingga Jun ini untuk menganjurkan kejohanan bagi memilih atlet terbaik ke Sukan SEA Hanoi setelah majoriti atlet kebangsaan tidak dapat bertanding dalam kejohanan sejak Mac tahun lepas berikutan Covid-19.

Berikutan keputusan untuk menghantar atlet muda ke Sukan SEA ke-31 selepas edisi 2019, penangguhan Sukan Malaysia (Sukma) selama dua tahun serta kejohanan lain, menjadikan medan untuk menguji kemampuan para atlet adalah perkara sukar.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu berkata, antara cabaran dikenal pasti sepanjang mesyuarat dua hari itu adalah latihan dan kedudukan kewangan serta pelaksanaan sekatan terutama membabitkan sukan bersentuhan disebabkan pandemik itu.

“Kami mahu persatuan sukan kebangsaan memilih atlet terbaik selepas menguji tahap keupayaan mereka memandangkan kebanyakannya tidak menyertai pertandingan sejak Mac tahun lepas. Kami tidak mahu adanya pilih kasih dalam proses pemilihan,” katanya selepas pertemuan dengan persatuan sukan kebangsaan untuk memahami perancangan dan persiapan mereka di Wisma OCM di sini pada Jumaat.

Jawatankuasa Pemilihan akan mengadakan pertemuan dengan persatuan sukan kebangsaan sekali lagi pada Jun dan Julai untuk melihat senarai akhir atlet serta acara disertai, manakala kem akhir serta upacara penyerahan bendera dijadualkan pada 5 hingga 8 November.

Bola sepak akan menjadi kontinjen pertama berlepas ke Hanoi pada 13 Nov diikuti sukan lain berdasarkan tarikh pertandingan kerana kebanyakan persatuan sukan kebangsaan masih menunggu buku teknikal untuk maklumat terperinci.

Mohamad Norza berkata, Malaysia tidak akan menyertai acara gusti dan vovinam, manakala keputusan mengenai bola baling akan diketahui selepas mesyuarat majlis MOM susulan prestasi memalukan dan hutang yang belum diselesaikan oleh Persekutuan Bola Baling Malaysia ketika Sukan Asia 2018.

Artikel Berkaitan:

Mengenai pandemik Covid-19 pula, Mohamad Norza berkata, persatuan sukan kebangsaan terutama pengurus pasukan perlu merancang pengurusan dan berkomunikasi dengan Ketua Kontinjen negara, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Ditanya mengenai vaksinasi, Mohamad Norza berkata, atlet yang disenaraikan ke Sukan SEA akan ditambah ke dalam senarai 4,000 nama yang dihantar terdahulu tapi keutamaan diberikan kepada mereka yang sudah dan masih memburu kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Suntikan vaksin dijangka diberikan pada April dan Jun berdasarkan keutamaan kerana sukan bersentuhan berdepan risiko lebih tinggi.

Sementara itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, persatuan sukan kebangsaan dibenarkan menganjurkan pertandingan termasuk antara negeri, pada bila-bila masa, tapi perlu menyediakan draf prosedur operasi standard (SOP) dan mendapatkan kebenaran Kementerian Belia dan Sukan.