Luqman Hakim dipanggil ke latihan Sukan SEA

Ong Kim Swee
Ong Kim Swee
A
A
A

PENYERANG muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin tetap akan dipanggil menyertai latihan skuad Sukan SEA walaupun beliau telah mendapat panggilan ke kem latihan skuad Harimau Malaya.

Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee berkata, pemain berusia 19 tahun itu memerlukan pendedahan bersama rakan sepasukannya dalam skuad Bawah 20 tahun yang disasarkan untuk layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

“Saya tidak nampak itu satu masalah besar...dengan adanya Luqman akan memberi lebih impak kepada pasukan kita, terutamanya beliau dalam kategori umur yang sama untuk kekal bersama pada masa akan datang,” katanya selepas mesyuarat bersama Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma OCM pada Jumaat.

Pemain KV Kortrijk itu yang dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad senior buat kali pertama bermula Isnin ini di Johor Bahru, sedang menjalani kuarantin wajib selepas pulang dari Belgium, Sabtu lepas.

Sementara itu, Kim Swee menjelaskan skuad Sukan SEA di bawah kendalian Brad Maloney, selepas ini akan menjalani latihan pada waktu yang sama ketika skuad kebangsaan dalam jendela Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) (FIFA window).

Katanya, sekiranya mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), pasukan itu juga akan dihantar ke luar negara untuk mendapatkan aksi persahabatan berkualiti.

Bekas jurulatih kebangsaan itu sekali lagi menegaskan bahawa tujuan menghantar skuad muda ke Sukan SEA kali ini adalah sebagai pendedahan untuk pasukan berkenaan bagi Sukan SEA 2023 di Kemboja dan kelayakan ke Olimpik 2024.

“Tiada sasaran kerana hantar pasukan muda. Saya percaya pasukan lain seperti Vietnam sebagai tuan rumah akan hantar pasukan terkuat. Tetapi kita inginkan pemain muda ke Vietnam supaya mampu capai pingat pada 2023, cuma tak pasti emas, perak atau gangsa,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, skuad itu akan dibarisi pemain yang beraksi bersama kelab seperti Johor Darul Ta’zim, Selangor FC dan skuad Projek FAM-MSN yang beraksi di Liga Premier.

Mengulas mengenai prestasi skuad Projek FAM-MSN yang kalah dalam keempat-empat perlawanan setakat ini, Kim Swee berkata, buat masa ini apa yang penting ialah memberikan pendedahan kepada barisan pemain itu supaya wujud peluang yang lebih cerah kepada mereka menyertai kelab pada masa hadapan.

“Sebelum menubuhkan pasukan projek ini kita dah maklumkan yang pemain-pemain ini bukanlah pemain terbaik yang kita ada dalam senarai berusia bawah-20 tahun, tetapi untuk memberi peluang kedua kepada mereka,” katanya. - Bernama