Malaysia beralih ke ekonomi berpendapatan tinggi 5 tahun lagi

Malaysia berpotensi beralih ke ekonomi berpendapatan tinggi dalam masa lima tahun akan datang berdasarkan laporan Bank Dunia. - Gambar hiasan 123RF
Malaysia berpotensi beralih ke ekonomi berpendapatan tinggi dalam masa lima tahun akan datang berdasarkan laporan Bank Dunia. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia berpotensi untuk beralih ke ekonomi berpendapatan tinggi dalam masa lima tahun akan datang berdasarkan laporan Bank Dunia.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kejayaan tersebut hanya akan berjaya diraih sekiranya mempunyai usaha yang gigih daripada semua pihak.

Menurutnya, Laporan Bank Dunia bertajuk 'Aiming High: Navigating the Next Stage of Malaysia’s Development' memaklumkan bahawa untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, negara harus mempunyai daya saing yang tinggi.

Selain itu, katanya, Malaysia juga perlu mewujudkan pekerjaan berkualiti tinggi, mengukuhkan institusi-institusi utama dan meningkatkan keupayaannya untuk membiayai peralihan ke status negara maju serta berpendapatan tinggi.

“Apa yang pasti model pembangunan yang telah membolehkan Malaysia berjaya beralih dari status negara berpendapatan rendah ke pertengahan perlu dikaji semula untuk menghadapi cabaran baharu.

“Ini akan memerlukan kita untuk menilai semula bagaimana dasar-dasar negara ditetapkan dan peranan kerajaan serta institusi-institusi utama negara dalam meningkatkan pertumbuhan sosio ekonomi Malaysia di masa hadapan,” katanya dalam Laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) ke-45 yang dikeluarkan pada Jumaat.

Dalam masa sama, Tengku Zafrul berkata, kerajaan perlu meneruskan usaha bagi memastikan negara sentiasa berada di landasan yang tepat untuk kembali ke pertumbuhan menjelang penghujung tahun 2021.

Tambah beliau, usaha tersebut adalah bagi mengukuhkan asas pendapatan negara dan menambah baik struktur percukaian, membina keupayaan sepanjang bekalan sektor tertentu seperti pertanian, pendidikan dan 'Artificial Intelligence' atau Kecerdasan Buatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia juga penting bagi mengukuhkan lagi budaya keusahawanan atau penubuhan syarikat-syarikat permulaan untuk membantu negara Malaysia maju ke arah berpendapatan tinggi.

“Usaha tersebut juga bagi menyelaraskan belanjawan dan hala tuju pembangunan negara untuk memperkasa pembangunan sosioekonomi yang inklusif serta bagi menjamin kelestarian alam sekitar.

“Dengan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sistematik, ditambah dengan rancangan pemulihan ekonomi kita yang menetapkan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP), saya yakin bahawa ekonomi kita kini berada pada jalan menuju pemulihan. Insya-ALLAH,” ujarnya.

Beliau berkata, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dari segi Program Subsidi Upah (PSU) yang diberikan telah membantu seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja.

Katanya, permohonan subsidi upah yang telah diluluskan sehingga 5 Mac mencapai nilai RM12.769 bilion.