Menantu Bakhtiar calon PH di Semenyih

Foto: Bernama
Foto: Bernama
A
A
A

SEMENYIH - [DIKEMASKINI] PH mengumumkan menantu arwah ADUN Semenyih, Muhammad Aiman Zainali, 30, sebagai calon parti itu bagi menghadapi PRK DUN Semenyih yang akan bermula esok sehingga 2 Mac nanti.

Pengumuman tersebut dilakukan sendiri Timbalan Presiden PH yang juga Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan Pusat Khidmat DUN Semenyih, di sini, petang tadi.

Muhammad Aiman yang merupakan seorang jurutera adalah anak jati Semenyih dan kini sedang mengikuti Pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam Bidang Kejuruteraan Elektrik di UiTM Shah Alam.

Beliau yang dilahirkan pada 22 Februari 1989 mula menyertai Bersatu pada tahun 2017 dan kini menyandang jawatan Bendahari Bersatu Hulu Langat.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Majlis Pimpinan (MPN) PKR Selangor, Amirudin Shari.

Semalam, Parti Sosialis Malaysia (PSM) mempertaruhkan calon pemudanya, Nik Aziz Afiq Abdul, 25 untuk berentap dalam perebutan kerusi DUN Semenyih yang bakal memulakan tirainya esok.

PRK DUN Semenyih diadakan berikutan pemergian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Osman, 57, yang meninggal dunia pada 11 Januari lepas di Hospital Kajang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 Februari sebagai Hari Penamaan Calon, Undi Awal pada 26 Februari dan hari mengundi pula pada 2 Mac ini.

Artikel Berkaitan: