Pengamal media perlu hati-hati lapor mengenai vaksin Covid-19

Saifuddin beramah mesra dengan penerima sumbangan ketika hadir pada Program Erat Kasih Bersama Penduduk Perkampungan Cenderawasih, Taman LKNP dan Bukit Setongkol di sini pada Jumaat.- Foto Bernama
Saifuddin beramah mesra dengan penerima sumbangan ketika hadir pada Program Erat Kasih Bersama Penduduk Perkampungan Cenderawasih, Taman LKNP dan Bukit Setongkol di sini pada Jumaat.- Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Pengamal media diingatkan supaya berhati-hati dalam membuat laporan berhubung pemberian vaksin Covid-19.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, laporan yang tidak tepat boleh memberi impak terhadap Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sedang giat dijalankan bagi memutuskan rantaian pandemik itu.

"Bunyi cerita macam senang tetapi kesan kepada masyarakat itu besar. Kita tidak boleh gagal berkenaan pemberian vaksin ini, ia melibatkan usaha ramai pihak dan pasukan yang besar. Selain pihak media cetak, elektronik, televisyen serta radio, organisasi dan pemimpin juga diminta berhati-hati.

"Pastikan kesahihan sesuatu perkara, isu berkaitan vaksin dan kesannya sangat sensitif dan kalau ia disebar dengan berita tidak sahih atau palsu boleh menimbulkan kerisauan dan gangguan kepada proses pemberian vaksin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Erat Kasih bersama Penduduk Perkampungan Cenderawasih dan Taman LKNP di sini hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika disoal berkaitan tajuk laporan media tempatan mengenai vaksin yang telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada petugas barisan hadapan dan warganet.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, setakat ini, dua kes melibatkan penyebaran berita palsu mengenai vaksin sedang dalam pemerhatian pihaknya.

"Satu kes telah melibatkan tangkapan untuk siasatan manakala satu lagi kita sedang perhatikan dengan serius dan berkemungkinan kedua-dua kes ini akan menjadi yang pertama dikenakan tindakan Ordinan Darurat Kuasa-Kuasa Perlu (No 2) 2021 yang berkuat kuasa pada 12 Mac lepas," katanya tanpa memperincikan butiran kes terbabit.

Beliau juga berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sedang bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk meningkatkan kesalinghubungan Internet di pusat pemberian vaksin bagi fasa seterusnya.

Artikel Berkaitan:

"Apabila masuk fasa seterusnya, klinik dan hospital tidak mampu jadi pusat pemberian vaksin... tempat awam misalnya dewan atau institusi lain akan dijadikan tempat pemberian vaksin yang mungkin melibatkan kawasan capaian Internet kurang baik.

"Justeru, kita sedang usaha untuk pastikan semua tempat di mana proses vaksin diberikan mempunyai capaian Internet secukupnya kerana proses merekod melibatkan kegunaan Internet, kita akan bantu supaya tidak ada gangguan," katanya.

Saifuddin juga berkata, inisiatif subsidi pembelian telefon dan MyBaikHati yang diumumkan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) baru-baru ini dilihat bertepatan bagi menyokong agenda pendigitalan negara.

Mengulas program hari ini, beliau berkata, lebih 60 penduduk yang terdiri daripada golongan B40 diberikan bantuan wang tunai dan bakul makanan. - Bernama