X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Raja Muda Perlis pandang serius penjualan harumanis tiruan

Syed Faizuddin menyampaikan sumbangan zakat kepada 25 orang asnaf dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan melalui amil Masjid Terapung Al-Hussain di sini pada Jumaat.
A
A

KUALA PERLIS - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memandang serius penjualan harumanis tiruan yang akan menjejaskan pendapatan dan hasil pengusaha harumanis Perlis.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs bertitah, kesan kegiatan itu akan mengakibatkan penurunan kutipan zakat tanaman yang telah difatwakan wajib terhadap hasil biji-bijian dan buah-buah hasil pertanian.

Baginda bertitah supaya tiada lagi penggemar mangga harumanis tertipu semasa membeli buah yang menjadi ikon negeri Perlis itu.

"Beza mangga harumanis Perlis daripada 'buah tiruan’ atau buah import ialah mangga harumanis Perlis mempunyai lekuk pada tangkai dan di bahagian luar tangkai," titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 10 bagi tahun 2021 di Masjid Terapung Al-Hussain di sini pada Jumaat.

Baginda bertitah, mangga lain mempunyai 'bahu' yang sama tinggi manakala 'bahu' harumanis berbeza antara kiri dan kanan serta bahagian paruhnya mempunyai dua bentuk bucu.

"Dari segi tekstur isinya juga berbeza, kerana mangga lain lebih berserat dan ketara serta banyak jus, manakala harumanis memiliki serat yang amat halus dan sedikit jus tetapi jauh lebih manis," titah baginda.

Tambah Syed Faizuddin, harumanis Thai, harumanis Kemboja dan harumanis Burma merupakan antara nama yang sering digunakan penjual bagi melariskan jualan mempelam.

"Difahamkan penggunaan ciri-ciri harumanis pada mangga lain merupakan taktik peniaga untuk menarik pembeli.

"Situasi ini perlu diberi perhatian sewajarnya oleh semua pihak khususnya apabila musim harumanis dijangka bermula dari April hingga Jun tahun ini kerana buah berkenaan membawa imej negeri Perlis," katanya.

Syed Faizuddin turut menasihatkan orang ramai supaya mengetahui ciri-ciri sebenar mangga harumanis Perlis dengan merujuk kepada Jabatan Pertanian Negeri Perlis atau melayari laman sosial rasmi Jabatan Pertanian Negeri bagi mengelak daripada ditipu.

"Penjualan yang menggunakan nama harumanis Perlis bagi melariskan jualan juga akan dipantau oleh pasukan khas diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Pertanian dan FAMA serta dibantu beberapa agensi lain," titahnya.

Pada majlis sama baginda turut menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada 25 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan melalui amilnya.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Mufti Perlis Datuk Profesor Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Mohd Nazim Mohd Noor.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!