'Dalang UMNO kerjasama dengan Anwar lebih tidak bermaruah'

Mohd Zain Yasim
Mohd Zain Yasim
A
A
A

SHAH ALAM - Dalang UMNO yang cenderung mahu bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim lebih tidak bermaruah berbanding pemimpin yang membocorkan maklumat parti kepada ahli.

Ketua UMNO bahagian Bachok, Datuk Mohd Zain Yasim berkata, kedua-dua perbuatan merupakan satu kesalahan dan perlu diambil tindakan tatatertib.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kepimpinan UMNO sepatutnya lebih menumpukan perhatian terhadap dalang berbincang dengan Anwar kerana ia secara jelas melanggar prinsip UMNO iaitu 'No Anwar, No DAP'.

Jelas beliau, pengesahan Anwar sememangnya terdapat perbincangan antara beliau dengan wakil UMNO seolah-olah menjadi indikasi isu surat tular Ahli Parlimen UMNO sokong Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menjadi Perdana Menteri mungkin ada kebenarannya.

"Dari segi ketetapan, mungkin MKT tahu di dalam (siapa dalang). Tetapi hakikat sebenarnya kecelaruan ini sukar dibendung.

"Kalau tanya pemimpin baharu, kita tak nak benda itu (kerjasama Anwar-DAP). Bukan mudah kita nak yakinkan masyarakat akar umbi nak bersama dengan Anwar dan DAP. Kita sebagai orang Melayu pun alergi dengan mereka.

"Lagipun kalau PRU15 (dalam masa terdekat) tidak boleh buat apa, lagi merosakkan (UMNO) kalau kita dikaitkan dengan DAP," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini, negara dikejutkan dengan pengakuan oleh Anwar bahawa pihaknya sedang mengadakan rundingan dengan UMNO untuk mengadakan kerjasama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beberapa pemimpin UMNO termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui tidak tahu-menahu mengenai perkara itu.

Kelmarin, Ahmad Zahid dilaporkan sebagai berkata, UMNO telah mengenal pasti dua ahli MKT yang didakwa sering membocorkan rahsia mesyuarat MKT dan UMNO tidak akan bertolak ansur dengan sikap ahli yang cuba menghancurkan parti.

Dalam pada itu, Mohd Zain berkata, dalam hal ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mendedahkan segera siapa dalang tersebut sekali gus menghukum perbuatan mereka yang didapati mengkhianati dasar parti.

Beliau bagaimanapun tidak menafikan mereka yang terlibat itu mempunyai kepentingan demi menguntungkan diri sendiri tanpa meletakkan keutamaan parti.

"Sepatutnya (Presiden yang mendedahkan perkara ini), tetapi saya rasa beliau tidak akan buat begitu kerana takut benda lain pula akan terbuka.

"Saya mengutarakan pandangan ini berasaskan pengalaman dan matlamat untuk kepentingan Melayu Islam. Kalau nak kata saya ada kepentingan, saya tak nampak nak jadi menteri atau wakil rakyat. Saya jadi penonton saja tidak mengapa asalkan kita sokong orang Melayu Islam," katanya.