19 peniaga Pasar Malam Batu 13 Puchong dibenar berpindah

Laporan Sinar Harian pada Isnin berkenaan peniaga pasar malam di Batu 13, di sini memohon pihak MBSJ memberikan tapak yang selesa untuk mereka berniaga.
Laporan Sinar Harian pada Isnin berkenaan peniaga pasar malam di Batu 13, di sini memohon pihak MBSJ memberikan tapak yang selesa untuk mereka berniaga.
A
A
A

PUCHONG - Seramai 19 daripada 32 peniaga pasar malam Batu 13 di sini dibenarkan berniaga di Dataran Niaga Puchong Permai bermula Selasa ini.

Kesemua peniaga berkenaan ditemu duga oleh Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 10 Mac lalu selepas pihak berkuasa tempatan itu menerima sebanyak 83 nama peniaga yang disenaraikan oleh Persatuan Peniaga Pasar Puchong (4P).

MBSJ melalui kenyataan pada Jumaat memaklumkan, hanya 66 peniaga merupakan peniaga asal pasar malam Puchong Batu 13 berdasarkan semakan dengan pihak Koperasi Pemasar Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Selangor Berhad (Kofas).

“Hasil semakan juga mendapati seramai 49 peniaga mempunyai lesen Pasar Malam MBSJ di lokasi yang lain manakala 34 lagi peniaga tidak mempunyai lesen perniagaan daripada MBSJ.

“Selain itu, seramai 16 peniaga merupakan penduduk di luar kawasan MBSJ seperti di Shah Alam, Klang, Sepang, Ampang dan Kuala Selangor, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selayang, Sungai Buloh, Kajang dan Kuala Lumpur," katanya.

Dalam pada itu, MBSJ mengadakan beberapa sesi perbincangan dengan FAMA dan Persatuan 4P sejak 2019 sehingga kini untuk menjawab pelbagai persoalan daripada peniaga terlibat dan rundingan bersama persatuan tersebut pada 5 Mac lalu bersetuju mempertimbangkan aktiviti pasar malam dijalankan di Dataran Niaga Puchong Permai dengan beberapa syarat tertentu.

“Pasar malam tersebut perlu diuruskan oleh MBSJ dan hanya peniaga hari Selasa yang layak serta tergolong dalam senarai asal Kofas sahaja boleh dipertimbangkan untuk menjalankan aktiviti perniagaan,” katanya.

Sementara itu, MBSJ memaklumkan FAMA pernah menawarkan penggantian tapak niaga baharu di SS 6, Kelana Jaya tetapi peniaga enggan berpindah.

Artikel Berkaitan:

Pihak Kofas juga menjalankan operasi di tapak pasar tersebut beberapa kali tetapi tidak mendapat sambutan daripada peniaga sedia ada menyebabkan mereka memohon untuk memindahkan aktiviti pasar malam itu ke Dataran Niaga Puchong Permai.

Pada Ahad, kira-kira 70 peniaga pasar malam di Batu 13 di sini menggesa pihak MBSJ menyediakan tapak perniagaan yang lebih selesa untuk mereka berniaga.

Pengerusi Persatuan 4P, Ahmad Husaini Abu Bakar berkata, mereka diarah keluar oleh FAMA dari tapak asal sejak dua tahun lalu bagi memberi laluan kepada projek pembinaan bangunan perniagaan.

Menurutnya, disebabkan itu, mereka terpaksa berniaga di kawasan pagar tapak pembinaan bangunan tersebut dan sekitar Puchong.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga pasar malam gesa MBSJ sedia tapak niaga lebih selesa