X

Kindly register in order to view this article
!

Polis tahan 52 individu ingkar SOP termasuk rentas sempadan: Ismail Sabri

Ismail Sabri
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan 52 individu kerana ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 pada Khamis.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 36 orang dikompaun, manakala 16 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah rentas daerah dan negeri tanpa kebenaran sebanyak 12 kes, selain tiada penjarakan fizikal (12), tidak memakai pelitup muka (11), premis beroperasi lebih masa tanpa kebenaran (11), gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan (tiga) dan aktiviti perjudian (tiga).

"Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga membuat 69,500 pemeriksaan semalam (Khamis) bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ismail Sabri berkata, sebanyak 3,799 pasukan pematuhan melibatkan 16,304 anggota penguat kuasa membuat pemantauan di 6,137 buah restoran, selain pasar raya (4,595), bank (2,782), penjaja (4,055), pasar awam dan pasar tani (105), kilang (2,397) serta pejabat kerajaan (1,001).

Selain itu, katanya, turut dipantau ialah tempat ibadah (209), tempat riadah (18,976), terminal pengangkutan darat (3,340), terminal pengangkutan air (1,772) dan terminal pengangkutan udara (1,175).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melaksanakan sebanyak 88 Operasi Sanitasi Awam merangkumi 26 zon merah, 11 zon jingga, 14 zon kuning dan satu zon hijau di seluruh negara.

"Secara kumulatifnya sebanyak 19,054 operasi dilakukan membabitkan 149 zon sejak 30 Mac lalu.

"Operasi sanitasi terdiri daripada pusat perniagaan, kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), tempat awam, pasar raya dan bangunan kerajaan," katanya.

Berkenaan Ops Benteng pula, Ismail Sabri berkata, seramai 26 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dan 10 kenderaan darat dirampas.

"Pihak berkuasa turut mengesan sebanyak 115 bot dan kapal di perairan negara melalui lima aktiviti penglihatan serta mengusir tujuh PATI pada Khamis.

"Semalam (Khamis), seramai 800 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan mereka dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara," katanya.

Bagi saringan wajib pekerja asing, Ismail Sabri berkata, seramai 3,252 warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 dan daripada jumlah tersebut, seramai 22 orang didapati positif.

Beliau berkata, secara kumulatifnya seramai 634,082 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 membabitkan 32,809 majikan.

"Sehingga kini, sebanyak 1,534 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini. Seperti telah diumumkan, ujian saringan Covid-19 adalah diwajibkan kepada semua pekerja warga asing mulai 1 Februari lalu,” katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Serumah, Siburan, Bahagian Serian di Sarawak sebelum ini juga tidak dilanjutkan dan berakhir pada Sabtu.

-end-


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!