TMJ teliti beli saham kelab elit Eropah

Tunku Ismail
Tunku Ismail
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim masih meneliti secara mendalam, sebelum membuat keputusan muktamad berhubung pembelian saham kelab bola sepak elit di Liga Eropah.

Menurutnya, pembelian saham itu bukanlah satu perkara baharu kerana beliau memang berminat untuk menjadi pemegang saham kelab ternama sejak dahulu lagi.

"Saya berpandangan bahawa untuk memiliki pegangan saham yang kecil secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada saya sebagai pemilik kelab serta memberi nilai tambah kepada JDT.

"Minat ini sudah lama tapi sudah tentu sebelum membuat sebarang pelaburan, saya perlu membuat penilaian yang mendalam, sesuai atau tidak selain mempertimbangkan pro dan kontra mengenainya," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat JDT di Stadium Sultan Ibrahim di sini pada Jumaat.

Tunku Ismail menambah, antara kelab Eropah yang dikaitkan untuk pemilikan saham ialah kelab Valencia, Liga Sepanyol, AC Milan (Itali) dan Manchester United (England).

Tunku Ismail memberitahu tidak kisah untuk membeli saham mana-mana kelab ternama di Eropah walaupun dengan jumlah yang kecil kerana dalam perancangan untuk mengukuhkan pegangan di masa akan datang.

"Saya mendapat tahu ada peluang pemilikan saham dalam Manchester United tidak sampai lima peratus. Mereka mengambil masa berdekad untuk nilai komersil kelab tersebut untuk menurun. Dari aspek 'sustainability', mereka cukup 'superb' sebab itu saya akan mengadakan mesyuarat dengan pihak mereka sebelum membuat apa-apa keputusan," katanya.

Ditanya mengenai Valencia, beliau berkata, ada beberapa perkara yang harus kelab itu uruskan terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Saya tidak berminat untuk membuat pelaburan bersama kelab yang banyak isu berpanjangan yang belum diselesaikan.

"Apabila keadaan Covid-19 sudah bertambah baik dan kembali boleh melancong, saya akan kembali membuat lawatan ke kelab Eropah ini untuk membuat perbincangan secara bersemuka," ujarnya.