Dua kali jatuh pokok: Saya dah serik

Mohd Fakro bersama anak lelakinya Mohd Arif Aiman, 12
Mohd Fakro bersama anak lelakinya Mohd Arif Aiman, 12
A
A
A

MARANG - "Saya dah serik," kata bapa lima anak, Mohd Fakro Adira Ismail, 38, yang patah tangan kanannya selepas terjatuh pokok kelapa ketika mahu memungut nira kelapa di Jenang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, Mohd Fakro terjatuh dari pokok itu pada ketinggian lebih empat meter dan merupakan kejadian kedua menimpa dirinya dalam tempoh dua tahun ini.

"Kali pertama saya jatuh pokok kelapa pada tahun lalu tapi masa itu saya tak cedera. Saya serik sebab tangan sama pernah patah sebelum ini selepas saya terlanggar kerbau pada 2004," katanya.

Mohd Fakro berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Jenang di sini, hari ini. Hadir sama, wakil Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPPK) Jenang, Salina Said, 39.

Pengusaha manisan nisan kerek (gula kabung) itu berkata, dia bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan parah atau tidak sedarkan diri selepas terjatuh kerana kebun kelapa itu terletak di kawasan hutan.

"Selepas terjatuh seluruh badan saya sakit termasuk di dada tapi saya cuba bangun menuju ke arah motosikal.

"Saya hanya sedar tangan ini terkulai masa hendak memulas minyak motosikal," katanya.

Dia kemudiannya kemudiannya mengambil masa 15 minit untuk keluar dari tempat itu sebelum tiba di rumah dengan motosikal.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun sakit tetap cuba bawa motosikal hingga sampai di rumah," katanya.

Mohd Fakro kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan kerana tidak hanya tangannya patah tetapi turut mengalami kecederaan lain.

Sementara itu, isterinya, Rohani Mukhtar, 40, berkata, akibat kejadian itu, keluarganya kini hilang punca pendapatan kerana mereka bergantung sepenuhnya dengan hasil jualan manisan nisan kerek.

"Sepanjang suami berehat di rumah kami terpaksa ikhtiar dengan cara lain mencari rezeki bagi meneruskan kehidupan kerana kelima-lima anak kami semuanya masih bersekolah lagi.

"Kami berterima kasih pada MPPK Jenang dan ADUN Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong kerana memberikan perhatian dan bantuan kepada keluarga kami ketika ini," katanya.