'Kalau ambil tindakan awal, orang tuduh polis zalim'

Hamzah
Hamzah
A
A
A

IPOH - Polis tidak terus mengambil tindakan awal ketika perarakan pengebumian menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang mempunyai lambang kumpulan kongsi gelap Geng 36 kerana tidak mahu dituduh zalim.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, polis bagaimanapun telah mengambil tindakan sewajarnya dengan menahan lima lelaki bagi membantu siasatan.

"Takkan kita nak ambil tindakan ketika itu (perarakan pengebumian) tetapi kita telah ambil tindakan segera selepas itu dan siasatan dilakukan.

"Sekiranya ambil tindakan ketika itu juga, orang akan kata polis bertindak zalim sebab itu kerajaan perlu berhati-hati dengan segala tindakan yang dilakukan," katanya ketika ditemui pada program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Rabu lalu, polis menerima dua laporan selepas rakaman video yang menunjukkan perarakan itu tular dalam media sosial.

Susulan itu, lima lelaki berusia 18 hingga 26 tahun ditahan.

Hasil siasatan juga mendapati perarakan pengebumian itu membabitkan seorang lelaki berusia 28 tahun yang meninggal dunia disebabkan kemalangan jalan raya kira-kira jam 7 pagi pada 14 Mac lalu.

Sementara itu, Hamzah berkata, belum ada keperluan untuk mewujudkan semula tiga pasukan elit Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Tindakan Khas Judi, Maksiat dan Gengsterisme (STAGG), Pasukan Tindakan Khas Jenayah Terancang (STAFOC) dan Pasukan Khas Taktikal Narkotik (STING) dalam menangani jenayah.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini kita cukup dengan apa yang kita ada. Jadi, kumpulan-kumpulan yang kita rasa mampu untuk lakukan tanpa pasukan ini, tidak perlu wujudkan lagi.

"Yang penting kita ambil tindakan mengikut undang-undang yang ada dengan tugas diberikan. Kalau mampu kita lakukan, kita lakukan," katanya.