Tiada cadangan program kesedaran vaksinasi di sekolah: KPM

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang untuk mengadakan program kesedaran vaksinasi di peringkat sekolah.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang untuk mengadakan program kesedaran vaksinasi di peringkat sekolah.
A
A
A

IPOH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak bercadang untuk mengadakan program kesedaran vaksinasi di peringkat sekolah.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, buat masa ini tiada keperluan itu kerana penetapan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan kerajaan menyasarkan penduduk yang berusia 18 tahun ke atas.

"Kita tahu program ini hanya untuk mereka berusia 18 tahun ke atas. Berdasarkan perkara itu, tiada keperluan untuk adakan (program kesedaran) dalam kalangan pelajar sekolah," katanya kepada pemberita selepas selesai mendapatkan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Stadium Indera Mulia di sini pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun berkata, KPM turut terlibat secara aktif dalam siri jelajah kesedaran vaksinasi di semua negeri bagi menggalakkan pendaftaran program itu terutama di kawasan luar bandar.

"Siri jelajah ini juga sebahagian usaha kerajaan untuk memastikan (semua) menteri dan timbalan menteri turun padang menggalakkan rakyat menerima vaksin.

"Macam saya terlibat sepenuhnya bagi kawasan Perak. Saya sudah aturkan beberapa siri jelajah di beberapa kawasan termasuk perkampungan orang asli yang kita rasa lebih memerlukan kehadiran kita untuk memberi penjelasan mengenai program vaksinasi ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, seramai 4,865 guru di Perak yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi telah disenaraikan sebagai menerima suntikan vaksin Covid-19 pada fasa pertama.

Daripada jumlah itu, katanya, seramai 229 guru dari daerah Batang Padang akan menerima suntikan bermula Sabtu, disusuli seramai 163 guru dari daerah Muallim.

Artikel Berkaitan:

"Program ini telah pun bermula dan ia dilaksanakan secara berperingkat. Saya dimaklumkan ada kalangan guru-guru besar yang berisiko telah menerima suntikan vaksin," katanya.