X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: 1,576 kes baharu, dua kematian

Dr Noor Hisham Abdullah
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Jumlah kes baharu Covid-19 yang dicatatkan dalam tempoh 24 jam di Malaysia terus merekodkan penurunan di bawah 2,000 kes selama dua minggu, dengan 1,576 kes dilaporkan pada Jumaat.

Kali terakhir jumlah kes baharu mencatat lebih 2,000 kes adalah pada 5 Mac dengan 2,154 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan pertambahan kes baharu hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes baharu sebanyak 330,042, manakala jumlah kes aktif pula ialah 14,360.

"Daripada jumlah kes baharu hari ini, 1,565 merupakan kes tempatan melibatkan 867 warga tempatan dan 698 bukan warganegara sementara 11 lagi adalah kes import, iaitu lapan warga tempatan dan tiga bukan warganegara,” menurutnya dalam hantaran di akaun Twitter rasmi beliau.

Beliau berkata, dalam tempoh 24 jam lepas, sebanyak dua kematian direkodkan melibatkan warga tempatan dan 1,996 kes sembuh direkodkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh daripada Covid-19 sebanyak 314,457.

Sementara itu menerusi kenyataan medianya, Dr Noor Hisham berkata, Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 407 kes diikuti Selangor (348), Pulau Pinang (182), Kuala Lumpur (175), Johor (137) dan Perak (100).

Melaka mencatat 54 kes; Kelantan (52), Negeri Sembilan (41), Sabah (33), Kedah (25), Pahang (13), Terengganu (enam), Labuan (dua); Putrajaya (satu) dan Perlis tiada kes.

Mengenai dua kematian baharu, beliau berkata kes membabitkan lelaki tempatan berusia 71 dan 51 tahun dengan sorang daripadanya menghidap penyakit kronik.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata 12 lagi kluster baharu dikesan hari ini termasuk 10 daripadanya melibatkan kluster di tempat kerja dan bakinya kluster pusat tahanan.

Kluster di tempat kerja melibatkan empat di Johor iaitu Kluster Sungai Berumbung, Kluster Lorong Usaha Utama, Kluster Jalan Dahlia dan Kluster Jalan Industri Sofa, sementara tiga di Kuala Lumpur iaitu Kluster Jalan Besar Kepong, Kluster Jalan Daun dan Kluster Lorong Nibong.

Tiga lagi kluster di tempat kerja ialah di Selangor melibatkan Kluster Tapak Bina Persiaran Cybersouth, Kluster Persiaran Hemisfera dan Kluster Bandar Baru, manakala kluster pusat tahanan membabitkan Kluster DTI Juru di Pulau Pinang dan Kluster DTI Jalan Duta di Kuala Lumpur.

Pertambahan pengesanan kluster baharu itu menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini ialah 1,288 dengan 427 kluster masih aktif.

Sebanyak 13 kluster turut diisytiharkan tamat hari ini menjadikan jumlah kluster yang telah tamat ialah 861. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!