X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Pertuduhan terhadap Ahmad Zahid bukan bersifat politik

Ahmad Zahid - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR – Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khairudin Kilau memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bahawa pertuduhan kes mahkamah terhadap Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan bersifat politik.

Saksi ke-99 bagi kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pertuduhan yang dibuat juga tidak dimulakan selepas pertukaran kerajaan (Pilihan Raya Umum ke-14 lalu).

Khairudin berkata demikian ketika menjawab soalan daripada peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Hisyam: Setuju dengan cadangan saya, semua pertuduhan dibuat selepas Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan?

Khairudin: Tidak setuju

Hisyam: Ketika Ahmad Zahid didakwa, beliau adalah Presiden UMNO?

Khairudin: Dalam jangka masa itu, ya betul.

Hisyam: Berapa lama Tuan menjadi pegawai penyiasat?

Khairudin: Kalau ikut jangka masa, sekitar 20 tahun.

Hisyam: Dalam tempoh 20 tahun, ada tak Tuan melihat atau membaca dari mana-mana tempat, ahli politik dituduh dengan 47 pertuduhan selepas kerajaan ditukar?

Khairudin: Dalam pengetahuan saya, ini kali pertama.

Dalam pada itu, ketika disoal semula oleh ketua pasukan pendakwaan, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran mengenai pertuduhan SPRM dibuat untuk menjatuhkan reputasi Ahmad Zahid, Khairudin menjawab, tidak sama sekali.

“Siasatan yang dijalankan oleh SPRM bukan bersifat politik sebaliknya ia adalah berdasarkan keterangan saksi, dokumentasi atau perkara-perkara lain,” katanya.

Sementara itu, Khairudin turut ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya, Lee Keng Fat mengenai penyata bank Yayasan Akalbudi.

Keng Fat: Ketika pemeriksaan balas oleh rakan bijaksana saya (peguam Ahmad Zahid) dahulu, ada mengatakan transaksi keluar masuk RM100 juta adalah antara 1997 hingga 2018. Soalan saya, dari 1997 hingga 2018 lebih kurang 20 tahun?

Khairudin: Betul

Keng Fat: Jika sumbangan dibuat oleh Ahmad Zahid, berapa purata setiap tahun yang perlu disumbangkan?

Khairudin: Secara kiraan matematik mudah, setahun lebih kurang RM5 juta.

Saksi pendakwaan ke-99 itu berkata demikian pada hari ke-53 perbicaraan Ahmad Zahid, 68, yang menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Khairudin adalah pegawai penyiasat SPRM ke-10 yang dipanggil pihak pendakwaan.

Pagi Jumaat, pihak pendakwaan memaklumkan kepada mahkamah untuk menutup kes berkenaan.

Antara saksi yang dipanggil sebelum ini ialah bekas Setiausaha Eksekutif kepada Ahmad Zahid, Mejar Mazlina [email protected] dan rakan kongsi di Lewis & Co, B Muralidharan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah Zahid: Pihak pendakwaan tutup kes


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!