Kilang makanan didenda RM225,000 cemar Sungai Balak

Laporan Sinar Harian pada 30 Oktober lalu berhubung operasi sebuah kilang yang didapati menjadi punca pencemaran di Sungai Balak berhampiran Kampung Baru Balakong, Kajang.
Laporan Sinar Harian pada 30 Oktober lalu berhubung operasi sebuah kilang yang didapati menjadi punca pencemaran di Sungai Balak berhampiran Kampung Baru Balakong, Kajang.
A
A
A

KAJANG – Sebuah kilang makanan di Kampung Baru Balakong didenda RM225,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat atas enam pertuduhan kerana menyebabkan pencemaran di Sungai Balak pada 28 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, syarikat itu didenda kerana melepaskan efluen perindustrian mentah melebihi had piawai ditetapkan di kawasan tadahan air serta melepaskan bahan buangan mengandungi minyak pelincir terpakai ke dalam Sungai Balak.

“Hakim Mohd Kafli Che Ali menjatuhi hukuman itu terhadap terhadap syarikat selaku orang kena saman (OKS) yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

“OKS dituduh di bawah Peraturan 11 (1) (a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Nor Aziah berkata, bagi pertuduhan kedua, syarikat terbabit didapati melepaskan efluen perindustrian melebihi had piawai sepertimana yang telah ditetapkan di bawah Peraturan 12(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

Katanya, bagi pertuduhan ketiga pula, syarikat didapati melepaskan bahan buangan yang mengandungi minyak pelincir terpakai daripada premis ke dalam alur air yang mengalir ke dalam Sungai Balak.

“Bagi pertuduhan keempat dan kelima, syarikat didapati gagal patuh kepada spesifikasi sistem pengolahan efluen perindustrian dan gagal maklumkan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar mengenai kejadian pembuangan efluen perindustrian secara tidak sengaja ke dalam perairan pedalaman dalam tempoh tidak lebih daripada enam jam.

“Bagi pertuduhan keenam pula, syarikat didapati membuang efluen perindustrian bercampur minyak pelincir terpakai yang tidak terlarut campur dengan air ke dalam perairan pedalaman,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, bagi setiap pertuduhan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya.

“JAS Negeri Selangor akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar. Saya juga ingin berterima kasih kepada orang awam yang membantu memberi maklumat tentang aktiviti-aktiviti yang mencemarkan alam sekitar.

“Sebarang aktiviti yang mencemarkan alam sekitar boleh dilaporkan di talian bebas tol 1-800-88-2727 yang beroperasi 24 jam sehari atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan JAS mengambil tindakan tegas dengan menghentikan operasi sebuah kilang berasaskan makanan yang didapati menjadi punca kepada pencemaran di Sungai Balak berhampiran Kampung Baru Balakong sebelum ini.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, menerusi laporan yang diterima, pihaknya telah menjalankan operasi dan menemui punca luahan air berwarna putih digenangi cecair hitam berminyak yang mengalir secara berterusan di sungai berkenaan.

Siasatan juga mendapati efluen mentah dan lelehan minyak hitam turut mengalir ke longkang kilang seterusnya memasuki satu saluran paip bawah tanah dan disalirkan ke Sungai Balak.

-end-