Syor tubuh pihak berkuasa bebas urus Ulu Muda

Jaseni
Jaseni
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan penubuhan pihak berkuasa bebas untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP), Datuk Ir Jaseni Maidinsa berkata, seramai 4.2 juta penduduk di tiga negeri NCER bergantung pada Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air.

Menurutnya, demi kesejahteraan masa depan, Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan sumbangan cukai Perlis, Kedah dan Pulau Pinang sangat bergantung kepada ketersediaan air mentah yang mencukupi dari Ulu Muda.

Mengambil contoh Murray-Darling Basin Authority (MDBA) yang menguruskan Murray-Darling Basin (MD Basin) untuk Kerajaan Komanwel Australia dan 5 negeri: Queensland, New South Wales, Wilayah Ibu Kota Australia (ACT), Victoria dan Australia Selatan, Jaseni berkata, kerajaan boleh mewujudkan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM).

"Ditubuhkan di bawah Akta Air Australia 2007, MDBA adalah agensi berkanun bebas yang melaporkan kepada Menteri Sumber, Air dan Australia Utara.

"Ia berfungsi sebagai badan penting dalam pelaksanaan program air untuk masa hadapan kerajaan Australia yang mempunyai empat keutamaan iaitu menangani perubahan iklim, menyokong sungai yang baik, menggunakan air dengan berhemat dan menjamin bekalan air," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Jaseni berkata, keempat-empat keutamaan yang digariskan itu secara meluas menggambarkan cabaran yang sedang dihadapi oleh Perlis, Kedah dan Pulau Pinang berhubung keselamatan bekalan air di NCER.

Dalam pada itu, Jaseni berkata, kerajaan Persekutuan juga boleh melaksanakan rancangan pengurusan saintifik dan mesra alam yang mengutamakan perlindungan dan pemuliharaan hutan hujan 163,000 hektar di Ulu Muda untuk kebaikan rakyat dalam konteks keselamatan bekalan air jangka panjang.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, keutamaan ialah menguruskan Ulu Muda secara lestari sebagai kawasan tadahan air utama NCER untuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang pada masa akan datang.

"Secara semula jadi, pengurusan lestari memerlukan kerajaan Persekutuan menghentikan sepenuhnya dan melarang semua aktiviti pembalakan, perlombongan (termasuk perlombongan untuk elemen nadir bumi - REE) serta aktiviti pemusnah lain di Ulu Muda.

“LLUM yang dicadangkan itu kemudiannya harus diberi kuasa untuk menegakkan larangan tersebut secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih bagi melindungi kepentingan awam," katanya.

Menurut Jaseni, LLUM yang dicadangkan untuk mengambil peranan serta tanggungjawab sebagai pengurus dan pelindung Ulu Muda perlu mempunyai dana dan kerajaan Persekutuan harus menjadi penyumbang utama,melalui peruntukan tahunan Persekutuan yang diperoleh daripada perolehan cukai dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

Katanya, sebagai penerima manfaat langsung dari rancangan lembangan Ulu Muda ini kerajaan Perlis, Kedah dan Pulau Pinang juga boleh menyumbang untuk membiayai lembaga berkenaan.