89 peratus ahli farmasi sedia disuntik vaksin

AMRAHI
AMRAHI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 89 peratus ahli farmasi bersedia untuk disuntik vaksin Covid-19 menerusi Fasa 1 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, menurut kajian dalaman Persatuan Farmasi Malaysia (MPS).

Presidennya, Amrahi Buang berkata, senarai nama telah diberikan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mereka yang terlibat boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri di seluruh negara bagi tindakan selanjutnya.

“MPS berharap agar kerajaan dapat memanfaatkan dan menggemblengkan kira-kira 4,000 ahli farmasi komuniti untuk menjayakan program imunisasi dengan hasrat untuk mencapai imuniti kelompok di Malaysia terhadap wabak Covid-19 yang telah mencengkam kehidupan dan kesihatan sejak setahun yang lepas,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada 12 Mac lepas, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan ahli farmasi komuniti dikategorikan dalam senarai petugas barisan hadapan yang akan menerima vaksin Covid-19 dalam fasa pertama program imunisasi itu.

Sementara itu, MPS dalam kenyataannya menyeru semua ahli farmasi daripada semua sektor untuk menjadi sukarelawan MyVAC (Malaysia Vaccine Support Volunteers) untuk fasa ketiga program imunisasi yang melibatkan vaksinasi secara besar-besaran.

“Fasa ketiga ini sangat memerlukan tenaga kerja yang ramai di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berjumlah 605 buah di seluruh negara. Seruan ini turut ditujukan kepada para pelajar farmasi dan ahli akademik farmasi di seluruh negara,” katanya.

Oleh itu, MPS berharap kerajaan dapat memanfaatkan dan menggembeleng tenaga 20,000 ahli farmasi di Malaysia untuk menjayakan program imunisasi tersebut.

Antara peranan yang boleh dimainkan komuniti itu ialah menjalankan aktiviti advokasi vaksin Covid-19 di peringkat komuniti mengenai kepentingan vaksinasi dan ahli farmasi komuniti boleh dilatih serta diberikan tanggungjawab untuk melakukan vaksinasi di PPV dalam fasa ketiga program imunisasi. - Bernama

Artikel Berkaitan: