Pengerusi koperasi pekebun kecil perdaya bendahari didenda RM15,000

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

IPOH - Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Daerah Kinta didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat selepas mengaku bersalah memperdaya bendahari koperasi untuk meluluskan pengeluaran cek berjumlah RM8,700 pada 2016.

Hakim S Indra Nehru turut memerintahkan Hamizi Mohamed Khalil, 58, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Hamizi didakwa sebagai pengerusi koperasi telah memperdayakan bendaharinya untuk mempercayai bahawa bayaran RM8,700 adalah bagi pembekalan sebuah bot penyelamat berat muatan 850 kilogram dan lima unit jaket keselamatan untuk kegunaan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Manjoi.

Dia didakwa dengan curangnya mendorong bendahari tersebut meluluskan pengeluaran cek berkenaan di Wisma Koperasi Pekebun Kecil, di sini pada 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Wahida Jalaludin dan Pegawai Pendakwa Mohd Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan: