Mayat operator jet ski ditemukan terapung

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan pagi Jumaat sebelum dihantar ke Hospital Balik Pulau.
Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan pagi Jumaat sebelum dihantar ke Hospital Balik Pulau.
A
A
A

GEORGETOWN - Operator jet ski yang dilaporkan hilang selepas menyelamatkan dua pelancong warga China yang terjatuh ke dalam laut di perairan Teluk Bahang berhampiran Monkey Beach petang Khamis ditemukan lemas.

Mayat Mohammad Ashrul Aswan Hussain, 23, ditemukan terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kira-kira 100 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang jam 10.25 pagi Jumaat.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohammed, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi telah mengaktifkan operasi mencari mangsa sebaik menerima laporan kehilangannya kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, mangsa dilaporkan terjatuh selepas dia bersama rakannya membantu dua pelancong yang terjatuh daripada jet ski.

"Sebaik pelancong itu diselamatkan, rakan mangsa membawa mereka ke pantai dan meninggalkan mangsa di lokasi kejadian.

"Rakannya yang berpatah balik ke lokasi kejadian untuk membawa balik mangsa mendapati mangsa tidak kelihatan di lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Abd Razak berkata, mangsa berasal dari Tanjung Dawai, Kedah kali terakhir dilihat tidak memakai jaket keselamatan serta tidak berbaju dan hanya berseluar hitam sewaktu kejadian.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis dan akan dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan: