Aksem diletak sepenuhnya di bawah PDRM

Hamzah
Hamzah
A
A
A

IPOH - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) telah distrukturkan semula dan diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Kabinet pada Khamis bersetuju perkara itu dan semua arahan terus daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, Aksem diletakkan di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) PDRM dan perubahan itu turut melibatkan keanggotaannya.

"Semua anggota yang diserap ke Aksem menjadi tanggungjawab PDRM bukan lagi kita pinjam daripada agensi lain dan akhirnya arahan itu tidak sampai ke bawah.

"PDRM akan menyusun semula anggota terbabit. Kalau Pasukan Gerakan Am (PGA) sama ada perlu atau tidak batalion tertentu masih di situ atau menjaga sempadan atau di sebelah Sabah atau Sarawak. Semua ini kita susun semula," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Hamzah berkata, penstrukturan semula Aksem itu akan menempatkan aset canggih bagi meningkatkan kawalan sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

"Kita pastikan penggunaan teknologi baharu dan canggih. Tempat yang tidak boleh gunakan teknologi ini, kita gunakan secara fizikal seperti PGA.

"Semua masalah sempadan dapat dikurangkan. Pintu masuk pula akan kita umumkan sama ada Utara, Sabah dan Sarawak dan jika masuk tempat lain dianggap menceroboh," katanya.

Keanggotaan Aksem membabitkan lima agensi iaitu PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).