Putin pelawa Biden berbincang

Vladimir Putin
Vladimir Putin
A
A
A

MOSCOW - Presiden Rusia, Vladimir Putin merancang menjemput rakan sejawatnya Presiden Joe Biden untuk mengadakan perbincangan mengenai hubungan dua hala secara dalam talian.

Putin memberitahu program televisyen tempatan perbincangan menerusi telefon pertama diadakan pada Januari lalu, lapor Agensi Berita Xinhua.

"Saya ingin mempelawa Presiden Biden untuk meneruskan perbincangan kami, tetapi dengan syarat ia dilakukan secara langsung menerusi dalam talian.

"Perbincangan boleh diadakan pada Jumaat atau Isnin, dan Kremlin (pejabat presiden) sentiasa bersedia mengikut masa yang sesuai dengan Rumah Putih," kata Putin.

Beliau berkata, Rusia bersedia bekerjasama dengan Amerika Syarikat (AS) dalam bidang kepentingan bersama, dengan syarat ia memberi manfaat kepada Rusia.

Kenyataan itu dikeluarkan di tengah meningkatnya ketegangan Moscow-Washington selepas laporan perisikan AS pada Selasa menuduh Rusia 'mencemarkan' pencalonan Biden ketika pilihan raya untuk meningkatkan sokongan terhadap bekas Presiden Donald Trump. - Bernama

Artikel Berkaitan: