X

Kindly register in order to view this article
!

SKMM jamin liputan internet baik di pusat vaksin fasa ketiga dan empat

A
A

KUANTAN - Semua pusat vaksin seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak akan menerima liputan rangkaian internet baik bagi membolehkan orang ramai mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sudah bersedia meningkatkan khidmat internet di pusat vaksin bagi fasa ketiga dan keempat supaya tidak mengganggu proses pemberian suntikan.

Menurutnya, pemberian vaksin bagi fasa pertama dan kedua tiada masalah kerana dilakukan di hospital dan klinik kesihatan yang ada capaian internet yang baik.

"Bagaimanapun bagi fasa selepas ini, hospital dan klinik kesihatan tidak lagi dapat menampung kapasiti yang ramai kerana pusat tersebut turut memberi keutamaan kepada perkhidmatan kesihatan lain.

"Jadi, pusat vaksin ini akan diperluaskan ke tempat awam seperti dewan orang ramai, pusat pendidikan dan stadium.

**media**

"Apabila berada di tempat awam seperti ini, SKMM perlu memastikan capaian internet di pusat vaksin perlu berada dalam keadaan baik supaya tidak mengganggu proses pemberian vaksin kepada penerima dalam keadaan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan kunjungan dan lawatan di Klinik kesihatan Indera Mahkota pada Jumaat.

Hadir sama, Pegawai perubatan pentadbiran Klinik Kesihatan Indera Mahkota, Dr Nazrah Zarira Hazmah dan Pegawai Kesihatan Daerah Kuantan, Dr Rahimah Ibrahim.

Saifuddin berkata, persediaan sudah dilakukan secara rapi bagi memastikan pemberian vaksin secara menyeluruh kepada rakyat di negara ini.

"Proses vaksin ini tidak boleh ditangguh-tangguh apabila vaksin itu sampai, suntikan perlu dilakukan segera kepada penerima vaksin.

"Justeru, kita perlu pastikan penyambungan internet dalam keadaan baik. Kita turut memberi tumpuan kepada kawasan pedalaman termasuk di Sabah dan Sarawak dengan memperbaiki capaian internet di sesebuah kawasan," katanya.

Dalam lawatan tersebut, beliau yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, pejabat Parlimennya akan menyalurkan bantuan kepada klinik dalam kawasan itu.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!