Kenyataan Abdul Hadi rai kepelbagaian agama: Gerakan

Mak Kah Keong
Mak Kah Keong
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mengalu-alukan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Abdul Hadi Awang bahawa tiada siapa boleh menghalang mana-mana pihak menggunakan kalimah 'ALLAH'.

Setiausaha Agungnya, Mak Kah Keong berkata, kenyataan Presiden Pas merupakan satu sikap yang meraikan kepelbagaian agama dan kepercayaan di Malaysia.

"Gerakan menghargai kenyataan tersebut yang datang daripada seorang tokoh Islam yang amat dihormati oleh kita semua, dan ia juga akan meningkatkan semangat saling hormat menghormati dan memberi ruang kepada semua dalam memahami isu tersebut," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kenyataan Abdul Hadi adalah selaras dengan prinsip Rukun Negara yang dirangka sebagai landasan untuk mencapai perpaduan yang kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa Gerakan percaya agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan mementingkan kesaksamaan dan menghormati kebebasan beragama yang lain, sejajar dengan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Sebagai anggota parti dalam Perikatan Nasional, Gerakan akan sentiasa mempertahankan kepelbagaian kebudayaan dan agama, dan memastikan perpaduan sebagai asas kepada pembentukan agenda keMalaysiaan."

"Kenyataan Presiden Pas tersebut terus meningkatkan keyakinan kami bahawa PN komited dengan agenda perpaduan nasional dan kesaksamaan dalam semua perkara termasuk dalam kehidupan beragama," kata Kah Keong lagi.

Artikel Berkaitan: