'Kaklong pernah jadi gadis kilang'

Amelina - Foto Instagram
A
A

BIARPUN kini menjadi penyanyi terkenal, Ratu Dangdut Malaysia, Amelina tidak pernah malu mengakui bahawa dia pernah menjadi 'gadis kilang' suatu ketika dulu.

Cerita Amelina menerusi akaun Instagram miliknya, 25 tahun lalu, di sebuah kilang di Nilai, Negeri Sembilan menjadi tempat dia memulakan hidup sebagai operator pengeluaran selepas tamat sekolah.

"Kilang TDK Nilai adalah ruang kaklong (nama panggilan Amelina) menimba seribu satu pengalaman, belajar erti berdikari.

"Paling penting gaji Kaklong cuma RM450 di sini sepanjang setahun setengah bekerja, Kaklong berjaya membantu mak abah, adik-adik semua. Alhamdulillah atas rezeki.

"Kaklong tak pernah malu atau rendah diri menjadi gadis kilang dulu tau. Biarlah apa orang nak kata yg penting Kaklong cari rezeki halal.

"Di sini juga Kaklong mencari keyakinan untuk mencuba menjadi anak seni. Alhamdulillah jalan itu dipermudahkan. Syukur," tulisnya.

Tambah wanita berusia 44 tahun ini, kerana 'gila' mencari duit pada ketika itu, dia sanggup bekerja pada musim perayaan.

"Bayangkan Kak Long gila cari duit masa tu tau. Tak pernah cuti walaupun raya ke, birthday ke yang penting nak kejar segala double, triple pay, memang seronok!

"Rindunya Kak Long dengan semua kawan kat (kilang) TDK, mana korang semua?," ujarnya.

Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin berada di sana bagi rakaman sebuah program hiburan.

Penyanyi yang popular dengan lagu Asyik ini baharu sahaja memenangi tempat keempat program Gegar Vaganza musim kelima.