X

Kindly register in order to view this article
!

Kanak-kanak tujuh tahun ke atas dibenar solat di masjid, surau di Pahang

Wan Rosdy Wan Ismail
A
A

KUANTAN- Kanak-kanak berusia tujuh tahun dan ke atas kini dibenarkan untuk ke masjid atau surau bagi menunaikan solat Jumaat dan solat fardu berkuat kuasa mulai Jumaat.

Ia susulan keputusan kerajaan negeri melonggarkan beberapa perkara berkaitan prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti keagamaan di masjid dan surau di negeri ini atas perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Al-Mustafa Billah Shah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, melalui keputusan terbaharu itu, penganjuran kuliah dan majlis ilmu juga dibenarkan.

Menurutnya, sebelum ini hanya kuliah Maghrib dan tazkirah Subuh dibenarkan namun kini kebenaran itu diperluaskan meliputi kuliah Dhuha, kelas al-Quran dan Fardu Ain serta bacaan Yassin dan tahlil.

"Jamuan selepas kuliah dan majlis ilmu juga kini dibenarkan.

"Turut dibenarkan kehadiran pada majlis akad nikah di masjid dengan bilangan tetamu berdasarkan ruang yang ditetapkan berbanding kehadiran sebelum ini dihadkan kepada hanya 20 orang," katanya melalui satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy berkata, sebarang perubahan atas keputusan itu akan dimaklumkan kemudian bergantung kepada keadaan semasa situasi penularan pandemik Covid-19 yang masih membelenggu negara dan negeri ini.

"Biarpun kelonggaran itu diberikan, orang ramai tetap perlu mematuhi dan mengamalkan SOP yang ditetapkan termasuk pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah sendiri.

"Semoga dengan kelonggaran yang diberi ini, kita semua dapat kembali beribadah dengan lebih selesa, seterusnya mengimarahkan kembali masjid dan surau di negeri ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!