Covid-19: Dua sekolah di Sibu ditutup

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SIBU - Pihak berkuasa menutup dua sekolah rendah di dua zon di sini bermula Jumaat, selepas kedua-dua zon itu bertukar status kepada merah akibat peningkatan kes Covid-19.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Sibu dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, penutupan itu membabitkan Sekolah Kebangsaan (SK) Abang Ali dan SK St Mary, masing-masing di Zon 9 Jalan Awang Ramli Amit dan Zon 10 Kampung Dato yang menyaksikan peningkatan kes kumulatif kepada 52 dan 43 masing-masing pada Khamis.

“Penutupan itu ialah hingga tamat cuti pertengahan penggal pada 3 April ini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, SK Methodist ditutup selama dua hari bagi membolehkan proses sanitasi dan saringan kontak selepas seorang guru didapati positif wabak itu.

Susulan itu, seramai 78 kontak rapat dalam kalangan guru dan pelajar dikenal pasti dan akan menjalani ujian calitan pada Jumaat dan Sabtu.

Menurut kenyataan itu, ibu bapa kepada murid lain yang bukan kontak rapat juga boleh membawa anak mereka ke Klinik Kesihatan Lanang untuk tujuan saringan.

Kenyataan itu juga menjelaskan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian kes Covid-19 untuk sekolah-sekolah yang mempunyai kes dalam kalangan guru atau pelajar ialah penutupan selama satu atau dua hari untuk tujuan disinfeksi dan siasatan.

“Kontak rapat di sekolah itu akan disaring dan diminta menjalani isolasi atau kuarantin oleh Jabatan Kesihatan di mana persekolahan untuk pelajar-pelajar berkenaan boleh diteruskan melalui pembelajaran dalam talian.

Artikel Berkaitan:

“Pelajar bukan kontak kes boleh datang ke sekolah seperti biasa,” kata kenyataan itu lagi.

Berikutan kehadiran ke sekolah tidak wajib pada masa ini, ibu bapa yang berasakan tidak selamat untuk menghantar anak ke sekolah boleh meminta PdPR iaitu pengajaran dan pembelajaran di rumah diadakan. - Bernama