‘Saya tidak malu, rakyat perlu tahu’

Abdul Hamid
Abdul Hamid
A
A
A

KETUA Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador tampil dalam program ‘Sinar Live Bersama KPN’ di Studio F, Kumpulan Karangkraf di Shah Alam pada Rabu.

Dalam temu bual selama satu jam itu, beliau menyentuh pelbagai perkara termasuk pencapaian beliau dalam tempoh dua tahun mengetuai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain isu darurat dan ancaman semasa negara.

Berikut ialah sedutan wawancara bersama beliau yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

JOHAN: Sewaktu Tan Sri dilantik sebagai KPN dua tahun lalu, ada dua isu besar Tan Sri tekankan iaitu kepolisan dan keyakinan rakyat. Bagaimanakah pencapaian dua sasaran tersebut?

ABDUL HAMID: Misi utama saya apabila saya diwawancara oleh Tan Sri (Johan) setahun yang lalu adalah mahu memperkasa semula pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan penghormatan dan keyakinan orang ramai terhadap institusi kepolisan.

Pada saya, usaha itu masih gigih saya teruskan sehingga hari ini. Saya tidak dapat memberikan ukuran pencapaiannya tetapi terpulang kepada orang ramai sama ada usaha saya ini mencapai atau tidak lari daripada tujuan asal saya dulu.

Abdul Hamid mahu memperkasa semula pasukan PDRM.
Abdul Hamid mahu memperkasa semula pasukan PDRM.

Bagaimana mahu membuat perimbangan antara kebebasan rakyat untuk menyuarakan pandangan dengan tindakan yang boleh menyebabkan ketidakstabilan lebih buruk lagi?

Artikel Berkaitan:

Saya mengambil pendirian untuk sentiasa menyuburkan lagi prinsip-prinsip demokrasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Mereka boleh bergiat dalam apa jua bentuk selagi tidak bercanggah dengan undang-undang.

Sekiranya kegiatan atau pertuturan mereka melanggar undang-undang, barulah saya ambil tindakan. Tetapi tindakan yang diambil adalah berhemah. Saya tidak membenarkan pegawai-pegawai saya mengambil tindakan secara emosi, mensensasikan satu-satu kes, atau menguar-uarkan bertujuan mengaibkan satu-satu pihak. Tidak, saya tidak benarkan.

Adakah Tan Sri ada menyimpan dendam kepada sesiapa, walaupun Tan Sri pernah diketepikan sewaktu pemerintahan kerajaan yang lalu?

Tak ada. Insya-ALLAH tak ada.

Beberapa minggu lepas, Datuk Zamri Yahya daripada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman membuat kenyataan ada pegawai polis yang hidup mewah ala orang kaya, mereka bercuti di luar negara ditaja oleh pihak tertentu, berkereta mewah, dan mempunyai peralatan golf mewah. Keberanian Datuk Zamri mendedahkan hal seperti ini memeranjatkan rakyat, tetapi pada pendapat saya bagi pihak polis tentulah ia perlu dilakukan. Apa komen Tan Sri?

Tindakan Datuk Zamri itu memang mendapat cemuhan dari dalam PDRM atau mungkin daripada kumpulan-kumpulan pesara, mengapa seorang pegawai tinggi sanggup mendedahkan pekung?

Tetapi demi kepentingan negara dan orang ramai, PDRM tidak boleh lagi menutup segala yang berlaku dalam PDRM. PDRM milik negara. Orang ramai ada hak untuk mendapatkan perkhidmatan yang baik daripada PDRM.

Kami dibayar gaji, bukan kami dipaksa (bekerja). Sesiapa yang masuk PDRM ini adalah secara sukarela dan mesti sanggup menegakkan undang-undang. Tetapi bila diberikan kuasa, ada pula yang menyeleweng.

Jadi apa yang didedahkan oleh Datuk Zamri itu mula membuka mata. Bermulalah satu tahap baharu dalam pengurusan PDRM di mana saya sendiri sanggup berkongsi cerita-cerita yang tidak baik sebagai satu pengajaran dan memberi keyakinan kepada orang ramai bahawa polis tidak akan melindungi atau bersekongkol untuk menutup perkara-perkara jijik tadi.

Maksudnya tak payah ‘sapu di bawah karpet’ lagi?

Tak payah. Demi negara saya tidak malu. Biarlah orang kutuk saya, sudah beberapa tahun jadi Ketua Polis Negara masih berlaku lagi (rasuah). Tak apa, saya terima. Saya tak akan hilang fokus.

Wawancara bersama Ketua Polis Negara yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.
Wawancara bersama Ketua Polis Negara yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

Dulu kita dengar cerita ada jutawan dalam kalangan polis yang masih berkhidmat. Adakah perkara ini Tan Sri beri perhatian serius?

Kita ada buat semakan tentang harta dan wang simpanan mereka. Pemerhatian di bawah juga dilakukan sekiranya ada pegawai dilihat mewah kehidupannya. Pihak Jabatan Integriti serta-merta akan membuka dan mengambil tindakan untuk menyiasat.

Akhir-akhir ini ada pimpinan tinggi polis yang menampakkan keberanian luar biasa, sebagai contoh Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. Apakah Tan Sri rasa pegawai seperti ini akan bertahan lama dengan ancaman, ugutan dan sebagainya?

Insya-ALLAH mengambil kira apa yang Tan Sri sebut tadi, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan, saya mengenali beliau dari zaman muda lagi apabila kami sama-sama bertugas dalam bahagian khas dulu.

Beliau seorang yang tegas, berintegriti dan berani. Jadi saya menjangkakan beliau boleh bertahan. Rata-rata dalam PDRM sekarang ini ada kesedaran bahawa budaya-budaya yang menyimpang dan menyeleweng semakin lama semakin dipandang jijik oleh warga PDRM sendiri. Saya amat bersyukur perasaan itu semakin meningkat dalam kalangan anak-anak buah saya.

Secara kebetulan, Ayob Khan berani menyuarakannya. Tetapi ada lagi pegawai-pegawai (yang sepertinya), saya rasa ramai. Saya yakin mereka sama-sama berintegriti, tapi mereka bekerja dalam stail yang berlainan. Tapi ada juga yang masih lagi dibuai dengan mimpi-mimpi palsu, yang meneruskan kehidupan (kegiatan) haram ini.

No Image Caption

Ada pandangan yang mengatakan darurat sekarang sebenarnya boleh menimbulkan masalah lain ataupun sebagai alasan mempertahankan kerajaan. Apa pandangan Tan Sri?

Insya-ALLAH saya tidak akan menggunakan kuasa sewenang-wenangnya. Kuasa dan pindaan yang diberikan atas akta berita palsu misalnya.

Dulu kes-kes sebegini memerlukan kuasa daripada pendakwa raya untuk kita memulakan siasatan.

Untuk mendapatkan kuasa tersebut yang dipanggil Order to Investigate (OTI), kebenaran untuk kita nak buka kertas siasatan mungkin memakan masa dua hingga empat minggu. Sedangkan berita palsu sudah tersebar sehingga orang ramai panik dan takut.

Jadi apabila dibuat pindaan ini, insya-ALLAH saya akan terus mengingatkan pegawai-pegawai saya supaya jangan gunakan (kuasa) sewenang-wenangnya tetapi mesti dihalusi sehalus-halusnya bagi mewajarkan kuasa untuk menangkap tanpa waran ini dapat dilaksanakan dengan adil.

Saya tertarik dengan berita Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal pergi ke sebuah rumah flat dan berjumpa dengan seorang wanita yang mencuri barang daripada pasar raya kerana anaknya sakit. Beliau bukan datang untuk menangkap tetapi untuk memberi bantuan. Dengan pandangan-pandangan negatif terhadap pihak polis, apakah jenis komuniti polis seperti ini dapat dilakukan?

Saya lihat tindakan pegawai tersebut mendapat sanjungan orang ramai. Inilah yang saya galakkan. Dia seorang pegawai yang sanggup mengambil langkah lanjut untuk keluar daripada norma-norma tindakan biasa.

Saya amat menggalakkan kerana tindakan sebegini sekiranya diamalkan oleh pegawai-pegawai saya, akan memberikan imej yang cukup baik bahawa pihak polis itu adalah organisasi berperikemanusiaan dan sensitif dengan keadaan di bawah.

Adakah Tan Sri yakin PDRM bersedia menghadapi pelbagai ancaman semasa daripada jenayah dagang, jenayah siber dan sebagainya?

Baru-baru ini saya ada meluahkan harapan saya agar Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat menimbangkan permohonan saya untuk menambah kekuatan, satu di bahagian narkotik, nombor dua di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Alhamdulillah saya juga dapat lihat semangat pegawai-pegawai bahagian siasatan jenayah komersial ini untuk meningkatkan tahap kecekapan mereka dalam menangani kes-kes berkaitan.

Banyak seminar dan kursus dalaman diadakan dengan bantuan universiti, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, dan agensi penguat kuasa asing dari Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun, Korea dan Taiwan.

Seminar dalaman melalui dalam talian juga diadakan untuk pegawai-pegawai menimba ilmu secepat yang boleh kerana jenayah-jenayah high tech ini berubah dengan cepat sekali.

Saya yakin dengan pertambahan jawatan yang saya pohon daripada JPA, saya akan dapat mantapkan struktur ini supaya kes-kes scam dapat ditangani dengan cepat.

Abdul Hamid (tengah) bersama pegawainya semasa hadir untuk program ‘Sinar Live Bersama KPN’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Abdul Hamid (tengah) bersama pegawainya semasa hadir untuk program ‘Sinar Live Bersama KPN’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

Dulu kita tak banyak isu membabitkan gangguan seksual. Tapi baru-baru ini juga ada kes melibatkan PDRM. Apa reaksi Tan Sri?

Perbuatan itu salah, menyalahi undang-undang dan tidak sepatutnya dilakukan. Tapi saya beri jaminan bahawa perkara itu tidaklah begitu banyak berlaku dalam organisasi polis. Hanya sedikit. 10 ke 15 tahun dulu juga ada kes begini timbul. Jadi ia bukan pandemik dalam PDRM. Hanya kes terpencil. Di pihak saya juga tidak ada perlindungan, kita akan ambil tindakan.

Mana yang lebih bahaya, orang politik yang menggunakan kedudukannya untuk memecahbelahkan negara atau ancaman lain seperti pengganas yang belum nampak tapi masih merupakan duri dalam daging dalam masyarakat kita?

Soalan ini memang tricky. Kegiatan yang Tan Sri bayangkan tadi, kesannya meruntuhkan negara. Impaknya jika kita tidak kawal, akan berlaku rusuhan kaum, rusuhan agama, dan perbalahan antara wilayah misalnya. Ia akan menyebabkan negara kita runtuh dan hancur.

Hal jenayah ini insya-ALLAH boleh kami tangani.

Sekiranya kegiatan ini berjaya menarik penyertaan orang ramai dan menyakitkan hati, saya bimbang ia akan menjadi satu konflik terbuka yang menyebabkan hancurnya negara.

Apa komen Tan Sri tentang Kempen Rasuah Busters Sinar Harian?

Saya menyokong kempen Rasuah Busters Sinar Harian. Usaha Sinar Harian menggunakan medium media arus perdana ini dapat mencapai masyarakat secara meluas. Kita tidak boleh lagi tutup mata membiarkan rasuah begitu sahaja. Negara tak boleh dibiarkan rosak dengan amalan rasuah.

PDRM ada mekanisme yang secukupnya untuk mengangani rasuah ini?

Saya perkasakan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard. Saya juga kerap turun ke bawah memberikan motivasi kepada anak buah saya untuk membudayakan kerja yang sihat. Saya mahu menyedarkan mereka bahawa rasuah itu adalah salah dan jijik, jadi hentikannya!

Program ‘Sinar Live Bersama KPN’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.
Program ‘Sinar Live Bersama KPN’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Rabu.

Tapi Tan Sri tahu tentang persepsi rakyat tentang perbuatan ‘pau’ oleh anggota polis, apabila ditahan, diminta sesuatu. Bagaimana Tan Sri mahu sasarkan hal ini?

Hari demi hari, kelmarin (Rabu) pun ada tangkapan ke atas pegawai trafik. Kelmarin juga ada tangkapan memeras ugut orang ramai dengan perbuatan ‘pau’, saya juga mangsa kena ‘pau’ dulu.

Saya anggap ini satu lagi perbuatan yang amat tidak bertanggungjawab dan sepatutnya tidak diamalkan lagi. Saya lihat budaya dalam kalangan anggota bawah ini satu ketika dulu cukup meluas.

Tetapi sekarang, saya galakkan pemberi maklumat dalam kalangan rakan-rakan mereka untuk disampaikan kepada Jabatan Intergriti, saya atau timbalan saya atau pengarah-pengarah, jika ada unsur rasuah dalam kalangan mereka.

Ada sistem untuk pemberi maklumat ini menyampaikan maklumat?

Ada. Dengan WhatsApp pun boleh. Saya amat menggalakkannya. Saya tak akan cari pendekatan untuk menghukum pemberi maklumat. Tapi biarlah ikhlas, jangan ada agenda yang tidak baik.

Tan Sri puas hati dengan kebajikan anak buah?

Saya dapat tahu bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri mengambil berat. Hasil perbincangan, banyak lagi projek untuk membaik pulih berek-berek usang untuk didiami. Saya telah bawa ke KDN dan ia akan diambil perhatian serius termasuk kemudahan menggunakan hospital tentera oleh pesakit PDRM.

Saya juga bawa ke KDN, kalau kita tak dapat bina berek polis di Lembah Klang, tolong pertimbangkan elaun sewa mereka dapat dinaikkan. Mereka terpaksa menyewa dengan kos sewa bulanan yang tinggi. Secara keseluruhan, saya sudah lakukan yang terbaik.

Apa Tan Sri mahu buat selepas pencen jika tidak disambung kontrak KPN?

Saya memandang ke hadapan, saya sudah bersedia (untuk bersara) dan saya tak sabar untuk melakukan semula hobi saya bercucuk tanam.

No Image Caption

Apa nasihat Tan Sri kepada anggota jika khidmat Tan Sri berakhir pada Mei nanti?

Saya menyeru kepada semua agar sama-sama memahami wawasan saya untuk mengembalikan penghormatan kepada pasukan PDRM dengan membuang yang keruh dan meninggalkan amalan yang tidak baik.

Tingkatkan amalan jati diri. Hentikan perbuatan menganiaya, membuli, mengugut orang ramai. Gunakan kuasa untuk bantu orang ramai. Sedarlah sebelum terlambat.

Jika masih ingat, saya ada sebut bagaimana berakhirnya mereka dengan memakai baju jingga (baju reman). Sejak itu, berdozen-dozen pegawai dan anggota saya pakai baju itu.

Kita akan tanya balik kepada mereka apa perasaannya? Menyesal tidak berguna. Itu di dunia, di akhirat?

Ingatlah sama ada duit yang kita ambil dengan cara salah itu benar-benar boleh membawa kebahagiaan kepada keluarga kita. Kita mungkin terlepas di dunia ini tetapi ingat di akhirat nanti. Rasuah adalah dosa besar.