MAFI peruntuk RM21 juta bantu usahawan muda seawal usia 18 tahun

Ronald Kiandee (tengah) menyaksikan penyerahan Pembiayaan Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-Yes) oleh Haslina (kanan) kepada Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar (kiri) pada majlis pelancaran tersebut di MAFI pada Khamis.
Ronald Kiandee (tengah) menyaksikan penyerahan Pembiayaan Agro-Youth Entrepreneur Scheme (Agro-Yes) oleh Haslina (kanan) kepada Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar (kiri) pada majlis pelancaran tersebut di MAFI pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan sebanyak RM21 juta pembiayaan melalui Skim Usahawan Muda (Agro-YES).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, kemudahan pembiayaan khusus itu disasarkan kepada usahawan muda.

“Produk ini bertujuan membantu mereka mendapatkan pembiayaan pertanian bagi projek pengembangan seperti tanaman, ternakan, perikanan dan industri makanan,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Agro-YES di kementeriannya pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Menteri I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Ketua Setiausaha, Datuk Haslina Abdul Hamid.

Menurutnya, Agro-YES boleh dimohon oleh usahawan pertanian berumur 18 hingga 40 tahun yang telah menjalankan projek pertanian dan beroperasi lebih 12 bulan.

“Setiap permohonan layak mendapat pembiayaan sehingga RM500,000 melalui Agrobank dengan kadar faedah minimum iaitu dua peratus setahun,” katanya

Beliau berkata, Agro-YES telah dijenamakan semula daripada Pembiayaan Khas Agropreneur Muda yang melalui proses penambahbaikan.

“Antaranya mengurangkan birokrasi dalam rantaian permohonan dan pengurangan tempoh masa pemprosesan daripada dua bulan kepada 14 hari,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid (dua dari kanan menyampaikan replika cek kepada Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar sambil diperhatikan oleh Kiandee di Majlis Pelancaran Agro-YES di Putrajaya.
Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid (dua dari kanan menyampaikan replika cek kepada Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar sambil diperhatikan oleh Kiandee di Majlis Pelancaran Agro-YES di Putrajaya.

Ronald berkata, MAFI sentiasa berusaha untuk menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian dan menjadikannya sebagai industri progresif serta berdaya saing.

“Pada tahun lalu MAFI telah berjaya meningkatkan penglibatan 1,159 golongan muda dengan bantuan geran dan pembiayaan berjumlah RM23 juta,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah peruntukan RM21 juta, beliau berkata, sekiranya dana berkenaan telah habis dimohon, kementerian tidak teragak-agak membuat permohonan baharu kepada Kementerian Kewangan (MOF).

“Tiada halangan untuk kita kemuka permohonan dana kepada MOF kerana ia memberi manfaat kepada anak muda,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, usaha Agrobank dalam menggerakkan dan memajukan sektor pertanian negara sentiasa menjadi keutamaan Agrobank.

“Dalam memakmurkan sektor pertanian di Malaysia, pelbagai usaha telah dijalankan bagi merealisasikan hasrat ini.

“Menerusi pelancaran produk, Agrobank berharap pembiayaan ini akan dapat membantu golongan muda menceburi perniagaaan berasaskan agro sekali gus menjana pendapatan yang progresif, berdaya saing, kreatif dan inovatif,” kata beliau.