Geran sepadan SSPN bantu B40

Wan Saiful (kanan) menjadi tetamu program Sinar Live bertajuk ‘PTPTN Sahut Cabaran, Galas Tanggungjawab’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
Wan Saiful (kanan) menjadi tetamu program Sinar Live bertajuk ‘PTPTN Sahut Cabaran, Galas Tanggungjawab’ di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menawarkan beberapa insentif berbentuk geran sepadan kepada rakyat yang menabung secara konsisten terutama untuk jangka masa panjang.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, PTPTN amat menggalakkan rakyat yang berpendapatan bawah RM4,000 menabung bagi tujuan pendidikan tinggi anak-anak.

“Kita sediakan geran sepadan sebagai tambahan kepada jumlah tabungan mereka dalam SSPN-i. Mereka boleh membuat simpanan dari RM1 sehingga RM10,000.

“Katalah dia simpan dalam jangka masa 10 tahun, maka setiap ringgit yang dia simpan, kita akan beri pulangan 100 peratus iaitu sehingga RM10,000. Kemudian hujung tahun ke-10, kita akan tambah RM10,000 lagi.

“Jadi secara keseluruhan dia akan memperoleh sehingga RM20,000 apabila anaknya hendak masuk ke universiti.

“Saya rasa belum ada badan lain yang menawarkan kelebihan sebagaimana dilakukan PTPTN,” katanya pada program Sinar Live bertajuk ‘PTPTN Sahut Cabaran, Galas Tanggungjawab’.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dividen untuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) bagi tahun lalu mencecah empat peratus dan ia merupakan satu kadar yang tinggi.

“Berbanding dengan akaun simpanan lain, saya yakin dividen PTPTN adalah antara yang paling tinggi di negara ini setakat ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Wan Saiful berkata, pihaknya dalam peringkat akhir untuk melancarkan pelan strategik baharu dan ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan

“Fokus kita nanti adalah untuk memastikan maklumat sampai ke seluruh negara termasuklah insentif geran sepadan yang ditawarkan sekiranya mereka menabung dengan PTPTN. “Ramai yang masih tidak tahu mengenai insentif ini,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk memastikan PTPTN dikenali dengan satu imej baharu sebagai Tabung Pendidikan.

“Kita nak ubah dari satu reputasi sebagai badan pemberi pinjaman kepada badan yang menyediakan produk tabungan.

“Inilah yang kita telah lakukan sepanjang tiga tahun lepas dan kita akan teruskan lagi tahun ini,” katanya.