Tangani isu Pengundi Tidak Hadir

SPR harus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan semua pengundi berdaftar dapat melaksanakan tanggungjawab apabila tiba pilihan raya.
SPR harus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan semua pengundi berdaftar dapat melaksanakan tanggungjawab apabila tiba pilihan raya.
A
A
A

PILIHAN raya adalah antara tiang utama dalam sistem demokrasi yang diamalkan di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Setiap warganegara yang layak mempunyai hak untuk memilih calon pada pilihan raya bagi membawa suara dan aspirasi mereka ke dalam proses pembikinan undang-undang sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri. Hak itu termaktub dalam Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan.

Hasil daripada Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019, syarat umur layak mengundi telah diturunkan kepada 18 daripada 21 tahun dan pendaftaran automatik bagi pengundi layak, Malaysia akan mempunyai tambahan 4.7 juta pengundi baharu, menjadikan jumlah pengundi berdaftar 22.7 juta orang.

Pendaftaran pengundi secara automatik adalah satu langkah positif yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi memudahkan masyarakat, sejajar dengan tanggungjawab yang dinyatakan dalam Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan.

Setiap pengundi berdaftar harus hadir dan mengundi secara kendiri di pusat mengundi ditetapkan SPR, melainkan pengundi yang diklafikasikan sebagai Pengundi Tidak Hadir seperti ditaksirkan dalam Peraturan 2 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002 iaitu anggota tentera dan isteri atau suami, kakitangan awam Malaysia yang sedang berkhidmat di luar negara dan isteri atau suami masing-masing, pelajar sepenuh masa yang belajar di institusi pengajian tinggi di luar negara dan isteri atau suami masing-masing.

Bagi anggota tentera dan isteri atau suami masing-masing, mereka boleh mengundi awal. Petugas media yang membuat liputan pilihan raya semasa hari pengundian juga boleh mohon untuk mengundi secara pos.

Selain pengundi pos yang dinyatakan, SPR juga mempunyai kuasa di bawah Peraturan 3(1)(e) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 untuk memasukkan mana-mana kategori orang sebagai pengundi pos.

Melalui Warta Kerajaan Persekutuan bertarikh 23 Oktober 2017, SPR telah memasukkan kategori tambahan pengundi pos yang terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, petugas kesihatan (hospital dan klinik kerajaan sahaja), anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, kakitangan Jabatan Penjara Malaysia, anggota Polis Simpanan Sukarela, kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia, ahli Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, petugas Agensi Pengurusan Bencana Negara, petugas Jabatan Pendaftaran Negara yang bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Artikel Berkaitan:

Namun, masih terdapat ramai pengundi berdaftar yang tidak dapat menunaikan hak mengundi kerana tuntutan kerja. Juruterbang, pramugari dan pramugara, kakitangan teknikal dan pelbagai pekerja sektor penerbangan awam serta pengurusan lapangan terbang juga tidak dapat meninggalkan tempat kerja untuk mengundi.

Kakitangan perkapalan dan pelabuhan, pekerja Tenaga Nasional Berhad, Telekom Berhad, Mass Rapid Transit (MRT), kakitangan kereta api juga antara yang terlibat dan harus diberi keutamaan untuk dikategorikan sebagai Pengundi Tidak Hadir.

Lebih menarik perhatian adalah petugas kesihatan di hospital swasta tidak diberi ruang menjadi Pengundi Tidak Hadir, manakala petugas di hospital kerajaan boleh mengundi secara undi pos, walaupun kedua-dua sektor itu memberi perkhidmatan serupa.

Sebagai badan unggul yang mengendalikan pilihan raya, SPR juga harus memainkan peranan sebagai pemudah cara bagi memastikan semua pengundi berdaftar dapat melaksanakan tanggungjawab apabila tiba pilihan raya.

Walaupun SPR tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang yang ada, namun undang-undang harus dikaji dari masa ke masa bagi memenuhi keperluan rakyat.

Undang-undang pilihan raya seharusnya ‘perskriptif’ dan ‘inklusif’ untuk menjadi alat berkesan bagi memudahcara, bukannya penghalang kepada kebebasan untuk mengundi.

Undang-undang pilihan raya di Malaysia digubal sejak sebelum merdeka. Kini telah tiba masanya untuk dikaji semula secara komprehensif sebagaimana disarankan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya baru-baru ini.

Pilihan raya yang bebas, adil dan telus melambangkan integriti pentadbiran negara yang tinggi dan membawa kepada keabsahan sesuatu kerajaan.

* Amerul Muner Mohammad ialah mantan CEO Electoral Reform Committee (ERC)