X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 18 Januari 2022

Gambar Syukur ada aura

Abdullah Dean menunjukkan gambar Syukur yang terpilih ke pertandingan akhir CAPA 2019 yang menawarkan hadiah 1 lakh rupee India (RM5,748).
A
A

Abdullah Dean harap penyertaan kelima dalam CAPA 2019 membuahkan hasil

KUALA TERENGGANU - "Kalau bukan kerana aura dan karakter yang ada pada Syukur, mungkin gambar saya tak terpilih ke pertandingan akhir Anugerah Fotografi Akademi Camarena (CAPA) India 2019," kata jurugambar, Abdullah Dean Mohd Zain.

Gambar pengembala cilik, Muhammad Syukur Khamis, 14, hasil bidikannya itu terpilih bersama sembilan gambar lain oleh jurugambar dari seluruh dunia.

"Setiap bulan mereka akan memilih 10 gambar untuk ke pertandingan akhir. Jadi, gambar ini akan bersaing bersama 120 foto oleh jurugambar dari seluruh dunia.

"Sebelum ini, empat kali gambar Syukur bersama kerbau berjaya ke pusingan akhir CAPA iaitu pada 2016 dan 2017, tapi belum pernah menang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Kakitangan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN) Terengganu yang lebih dikenali sebagai Dallah Deen itu berkata, walaupun bukan jurugambar profesional namun dia berharap penyertaan kali ini membuahkan hasil.

Foto Syukur berinteraksi dengan kerbau terpilih ke CAPA 2019.
Foto Syukur berinteraksi dengan kerbau terpilih ke CAPA 2019.

"Kali ini dapat ke peringkat akhir untuk 2020 pun satu pencapaian besar bagi saya kerana persaingan begitu sengit. Saya harap gambar Syukur akan terpilih sebagai gambar terbaik," katanya.

Abdullah Dean pernah mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Gabungan Industri Kandungan Kreatif Malaysia (CCIG) sebagai jurugambar kembara pada 2017.

Beliau memiliki lebih 100 koleksi gambar Syukur pada sisi yang berbeza sejak ia mula dirakam pada 2015.

Dalam CAPA 2019, gambar Muhammad Syukur sedang berinteraksi bersama kerbau bertanding bagi kategori Kehidupan Harian.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!