Warga emas rugi RM34,040 ditipu 'kekasih dari Jerman'

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Seorang wanita warga emas kerugian RM34,040 diperdaya teman lelaki yang kononnya berada di Jerman selepas mengenalinya di laman Facebook sejak Februari lalu.

Dalam tempoh perkenalan itu, suspek dikenali Ahmed Hamza memberitahu dia telah menghantar bungkusan kepada mangsa yang berusia 66 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, bungkusan itu kononnya mengandungi sejumlah wang Euro untuk ditukar kepada Ringgit Malaysia kerana berhasrat menetap di negara ini dan membeli rumah.

Menurutnya, selepas itu, mangsa menerima pesanan ringkas menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki mendakwa wakil syarikat kurier dan memaklumkan barangan dikirim suspek mempunyai wang tunai.

"Lelaki itu kemudian meminta mangsa membuat bayaran kos penghantaran termasuk duti setem, cukai pendapatan dan bayaran tukaran wang Euro ke Ringgit Malaysia.

"Disebabkan percaya, mangsa membuat 13 kali transaksi bayaran ke tujuh akaun bank berbeza yang diberikan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM34,040," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

E Sundra berkata, mangsa sedar ditipu dan membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak pada Rabu selepas ejen terbabit masih meminta wang.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain katanya, statistik kes penipuan African Scam pada tahun lalu membabitkan 90 kes dengan nilai kerugian RM2,112,683, manakala setakat ini sebanyak 15 kes dilaporkan dengan kerugian RM679,800.

"Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan tidak mudah terjerat dengan cinta melalui laman sosial hingga menjadi mangsa penipuan, malah membuat semakan nombor telefon serta nombor akaun bank suspek terlebih dahulu sebelum membuat sebarang urusan," katanya.