Kerajaan Perak akui harga barang naik

Sivanesan (tengah) menyerahkan sumbangan kepada waris mangsa kebakaran rumah kedai di Jelapang di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
Sivanesan (tengah) menyerahkan sumbangan kepada waris mangsa kebakaran rumah kedai di Jelapang di Bangunan Perak Darul Ridzuan.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak mengakui berlaku peningkatan harga khususnya barangan keperluan seperti sayur dan ikan di negeri ini.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Negeri, A Sivanesan berkata, pihaknya akan melaksanakan program turun padang untuk mengenal pasti punca bagaimana berlakunya kenaikan harga tersebut.

Menurutnya, program turun padang akan disertai wakil beberapa agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak untuk mendapatkan maklum balas dan penyelesaian terhadap isu ini.

"Kita ada sumber yang banyak. Ada jajaran laut yang panjang dari Kuala Kurau, Pantai Remis hingga ke Hutan Melintang tetapi harga pasaran ikan tinggi, malah kita dapati ada harga barang di Perak lebih mahal dari Kuala Lumpur.

"Jadi, saya dah berbincang dan putuskan dengan pegawai KPDNHEP untuk buat satu hari lawatan sambil belajar di mana penglibatan pelbagai pihak seperti persatuan pengguna, Fama, universiti tempatan dan media akan sama-sama mengikuti bot nelayan ke laut.

"Kita nak tahu perbelanjaan tangkapan dan bawa balik ikan, berapa harga dijual kepada orang tengah, berapa kali tukar tangan? Jadi kita nak tahu bagaimana nak kawal harga," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan sumbangan kepada waris mangsa kebakaran yang meragut nyawa enam pelajar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini.

Menurut Sivanesan, pihaknya akan bertemu dengan semua persatuan pengguna di Perak untuk membincangkan kaedah terbaik untuk mengatasi masalah kenaikan harga barang.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, Perak berpotensi besar untuk tanaman sayur-sayuran yang sesuai dengan bentuk tanah sedia ada.

"Perak mempunyai petani yang meneroka tanah kerajaan tetapi ada daripada mereka tidak menanam sayur sebaliknya menanam kelapa sawit.

"Kita ada beribu-ribu petani dan jika dikaji jenis tanaman mereka, 40 peratus adalah kelapa sawit dan kita tak nak mereka teroka tanah kerajaan tanam kelapa sawit, sepatutnya mereka tanam sayur-sayuran yang boleh ditanam di Perak," katanya.

Sivanesan berharap perkara ini akan mendapat perhatian Fama yang mana membantu kerajaan negeri untuk memastikan harga barang terkawal.

Sementara itu, mengenai penyampaian sumbangan kepada waris mangsa kebakaran, beliau berkata, setiap waris diberikan RM2,000 sebagai sumbangan pihak kerajaan negeri bagi meringankan beban yang ditanggung.