Yayasan Akalbudi tidak terima sumbangan politik

Ahmad Zahid (dua, kiri) ketika hadir untuk perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
 -Foto Bernama
Ahmad Zahid (dua, kiri) ketika hadir untuk perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini.
Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
 -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Yayasan Akalbudi milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh menerima sebarang sumbangan politik kerana merupakan sebuah badan kebajikan.

Saksi pendakwaan terakhir yang juga Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Khairudin Kilau, 44, berkata hanya badan politik atau ahli politik sahaja yang boleh menerima sumbangan politik.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid pada hari ke-52 perbicaraan kes bekas timbalan perdana menteri yang menghadapi pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan jutaan ringgit daripada dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zaidi kemudian merujuk saksi pendakwaan ke-99 itu mengenai keterangannya yang menyatakan sumbangan RM360,000 daripada Yayasan Akalbudi yang disalurkan kepada TSC Consultancy & Resources untuk program pendaftaran pengundi, dan mencadangkan bahawa program tersebut adalah kegiatan politik dan Khairudin menjawab: "setuju".

Kepada soalan Ahmad Zaidi adakah menjadi satu kesalahan untuk membelanjakan wang daripada sumbangan politik untuk aktiviti politik, Khairudin menjawab: "Tidak boleh sebab Yayasan Akalbudi bukan organisasi politik".

Ketika membacakan pernyataan saksinya, Khairudin berkata, sebanyak RM360,000 wang Yayasan Akalbudi dikeluarkan untuk dibayar kepada TS Consultancy & Resources bagi menjalankan soal selidik dan kajian pengundi pilihan raya.

“Berdasarkan dokumen dan maklumat saksi-saksi, bayaran kepada TS Consultancy & Resources menunjukkan ia digunakan untuk menjalankan soal selidik dan kajian pengundi. Pemilik syarikat itu, Jasni Majid dan Sabri Said juga mengesahkan bahawa syarikat mereka ditubuhkan untuk program pendaftaran pengundi di lapangan dengan kerjasama parti UMNO dan di awal penubuhannya menerima dana daripada parti itu,” katanya.

Selain itu, Khairudin turut bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa pinjaman RM10 juta kepada Armada Holdings Sdn Bhd telah dibayar balik pada 2 Februari 2016 dalam tempoh tiga bulan dan membawa keuntungan kepada Yayasan Akalbudi sebanyak RM69,000.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan cadangan Ahmad Zaidi bahawa pinjaman tersebut adalah satu pelaburan untuk menjana keuntungan kerana Yayasan Akalbudi bukan syarikat pinjaman wang berlesen dan untuk membuat pinjaman perlu melalui badan yang mempunyai lesen.

"Satu lagi perkara, bagi aktiviti yang melibatkan keluaran jumlah wang yang besar (RM10 juta) memerlukan persetujuan daripada semua pemegang amanah," jawabnya.

Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama