Pemuda MCA gesa ambil tindakan dalang video tular

Sumber tangkap layar video tular daripada Facebook Najib Razak. Gambar kecil: Ryan Ho
Sumber tangkap layar video tular daripada Facebook Najib Razak. Gambar kecil: Ryan Ho
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda MCA pada Rabu menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap dalang video yang tular di Facebook berkaitan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).

Jurucakap Pemuda MCA, Ryan Ho berkata, video tersebut secara jelas memfitnah dan sengaja memburukkan nama baik Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, MCA, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan.

“Sebagaimana umum mengetahui, Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan 2020) yang diwartakan dan dikuatkuasakan pada 23 Oktober 2020 bertujuan meningkatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 berkaitan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu atau berbahaya.

“RUU ini juga tiada kaitan dengan kepentingan kaum tertentu sebaliknya bertujuan memastikan jalan raya kekal selamat digunakan oleh semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelasnya, Pemuda MCA telah membuat laporan polis berkenaan kes tersebut supaya siasatan dapat dijalankan dan mendakwa pesalah di mahkamah.

“Keharmonian negara perlu dipertahankan dan sebarang kegiatan yang berupaya mengancam keamanan negara melalui fitnah serta hasutan perlu dikekang sepenuhnya.

“Pemuda MCA yakin polis dan pihak berkuasa lain yang berkaitan akan menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung perkara ini,” ujarnya.

Pada Rabu, tular video yang dikongsi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa sebagai propaganda menghasut kaum India dengan tujuan menanam kebencian terhadap MCA dan BN.

Artikel Berkaitan: