UMNO, Pas perlu segera 'bernikah'

Ramah mesra antara Ahmad Jazlan dan para pengamal media di Kelantan.
Ramah mesra antara Ahmad Jazlan dan para pengamal media di Kelantan.
A
A
A

KOTA BHARU – UMNO Kelantan menggesa pucuk pimpinan menyegerakan penyatuan ummah dengan Pas dalam jalinan yang lebih utuh, sah dan berdaftar seolah-olah “bernikah”.

Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob berkata, bentuk penyatuan lebih erat itu perlu diwujudkan antara mereka bagi menguatkan lagi kedudukan kedua-dua parti politik berkenaan.

“Kerjasama antara UMNO dan Pas ini sudah lama terjalin secara tidak rasmi contohnya seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil apabila UMNO tidak meletakkan calon, jika Pas bertanding dan sebaliknya.

“Jalinan kerjasama sebegini perlu diteruskan dan perlu diperkemas lagi melangkaui satu pakatan pembangkang yang bukan sahaja berlaku pada satu-satu masa atau terhadap isu-isu tertentu sahaja, malah dalam erti kata lain, kalau perlu, tukar nama lain pun tukarlah, wujudkan satu ikatan yang sah dan berdaftar umpama 'bernikah',” katanya.

Beliau berkata sedemikian ketika Majlis Ramah Mesra Kepimpinan UMNO Kelantan bersama Kelab Media Kelantan Darul Naik (Kemudi) di New Horizon, Tunjong, di sini, malam semalam.

Katanya, penyatuan utuh itu juga penting dalam melihat kepada situasi politik semasa di dalam negara dan pihak Umno negeri itu juga menjadi badan perhubungan yang pertama menyerahkan memorandum kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi menyatakan pendirian dan pandangan terhadap gabungan itu.

“UMNO Kelantan membuat ketetapan bukan sahaja menyokong penggabungan ini, tetap kami juga mendesak satu hub kerjasama politik atau satu ikatan dan pakatan UMNO-Pas ini hendaklah disegerakan.

“Dalam keadaan persekitaran politik sekarang, bangsa Melayu perlu bersatu, Islam perlu bersatu dan dalam pada masa sama tanpa meminggirkan agama dan bangsa-bangsa lain yang ada di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, parti itu perlu berada dalam keadaan bersiap siaga dalam mendepani apa-apa sahaja corak politik di peringkat pusat dan perlu menarik lebih ramai golongan muda untuk mengguna pakai buah fikiran mereka.

“Proses pengukuhan parti serah juga diberi tugas kepada barisan Pemuda dan Puteri kerana mereka mempunyai akal yang kuat dan perlu mendekati pemimpin-pemimpin muda yang terdiri daripada bekas pemimpin pelajar dan belia yang bukan daripada kepimpinan UMNO dan lebih berfikiran terbuka.

“Sebelum ini, UMNO berada dalam kedudukan eksklusif dan dikuasai kelompok tertentu dan rantaian inilah yang perlu diputuskan supaya parti lebih kuat dengan pertambahan orang baru yang secara rela menyertai UMNO,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu kedudukan dan keutuhan ahli-ahli dalam UMNO tidak terjejas berhubung tindakan enam bekas Ahli Parlimen UMNO yang berhijrah menyertai Bersatu, kelmarin, namun tidak dapat menjangkakan sama ada masih terdapat ahli lain akan mengikut jejak langkah sama.

Mereka ialah Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shahbudin Yahaya; Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Selain itu, Ahli Parlimen Masjid Tanah yang juga bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin turut menerima kad keahlian Bersatu.

Borang penyertaan itu diserahkan kepada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis khas di Yayasan Kepimpinan Perdana

Mereka sebelum ini bertindak sebagai ahli parlimen bebas, selepas membuat keputusan meninggalkan UMNO pada 14 Disember tahun lalu.