Empat sarang dadah diserbu, 33 ditangkap

Wan Azharuddin menunjukkan dadah yang dirampas menerusi Op Sarang di sekitar daerah Tapah pada Selasa dan Rabu lepas.
Wan Azharuddin menunjukkan dadah yang dirampas menerusi Op Sarang di sekitar daerah Tapah pada Selasa dan Rabu lepas.
A
A
A

TAPAH - Polis menyerbu empat lokasi panas sarang dadah di sekitar daerah Tapah serta menahan 33 individu disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dan penagihan menerusi Op Sarang Khas pada Selasa dan Rabu lepas.

Dalam operasi bermula jam 4 pagi itu, kesemua suspek termasuk dua warga asing dari Indonesia dan Bangladesh berusia antara 21 hingga 60 tahun ditahan di sekitar kawasan ladang kelapa sawit dan hutan di Sungkai, Bidor, Tapah dan Temoh yang menjadi lokasi kegiatan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, turut ditahan dalam operasi berkenaan empat lelaki dikehendaki bagi kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kebanyakan suspek yang ditahan ini merupakan penganggur dan buruh kasar. Mereka dikesan aktif menjalankan aktiviti pengedaran dan penagihan dadah sejak tiga bulan lalu.

"Hasil siasatan mendapati, sumber dadah telah diperoleh dari daerah berhampiran dan sekitar Lembah Klang bagi tujuan edaran kepada penduduk setempat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini pada Khamis.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis berjaya merampas 317.62 gram dadah jenis methamphetamine dan 65.57 gram heroin yang dianggarkan bernilai RM34,056.95.

Katanya, semua suspek kini direman antara tiga hingga enam hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A (1), Seksyen 39C (1), Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama serta tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas-LLPK) 1985.

"Operasi dan tindakan susulan masih diteruskan terutama bagi mengenal pasti upline atau pembekal utama dadah dalam usaha kita membanteras sepenuhnya aktiviti pengedaran dan penagihan di daerah ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan operasi hasil maklumat orang ramai itu melibatkan sembilan pegawai dan 53 anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak bersama IPD Tapah.

Dalam perkembangan sama, Wan Azharuddin berkata, sepanjang tahun lalu, IPD Tapah telah melakukan tangkapan ke atas 443 orang atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

"Rampasan dadah pula melibatkan syabu kristal sebanyak 303.39 gram, syabu cecair 37.20 liter, heroin seberat 230.18 gram dan ganja 214, 260.60 gram," katanya.