Kartel cuba singkir KPN dapatkan bantuan pihak luar

Abdul Hamid Bador
Abdul Hamid Bador
A
A
A

JOHOR BAHRU - Gerakan dalaman daripada kalangan pegawai muda dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu menjatuhkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan menguasai pasukan keselamatan itu turut meminta bantuan pihak luar untuk mencapai cita-cita mereka.

Abdul Hamid yang mendedahkan perkara tersebut tidak memberitahu siapa pihak luar itu yang mempunyai rekod tidak baik, namun menegaskan tidak akan membenarkan PDRM dikuasai mana-mana pihak luar.

"Selagi saya (merupakan) Ketua Polis Negara, saya tidak akan benarkan PDRM digunakan mana-mana pihak sama ada di luar atau di dalam untuk mengikut acuan dan kehendak mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Khamis.

Abdul Hamid ditanya mengenai gerakan tersebut sama ada mendapatkan bantuan pihak luar iaitu daripada anggota dalaman pasukan itu, ahli perniagaan atau pemimpin politik untuk menyingkirkannya dan menguasai PDRM.

Pada Rabu, Abdul Hamid yang menghadiri program Sinar Live yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Shah Alam turut mendedahkan gerakan tersebut.

Dalam program itu, beliau berkata, gerakan tersebut juga merupakan kumpulan sama mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara demi kepentingan mereka.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Abdul Hamid berkata, pendedahan itu dibuat supaya tidak menjadi barah dalam PDRM dan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai jijik, berbahaya dan perlu ditangani dengan pendedahan berani.

"Saya hebahkan perkara ini kerana ia berpotensi menjadi kanser. Saya tidak boleh berdiam diri.

"Niat saya mahu berhentikan perkara ini supaya semua anak buah saya tahu bahawa budaya pasukan kecil ini wujudkan kluster atau koloni dengan cita-cita satu hari nanti menguasai badan tertinggi PDRM ini.

"Pada masa itu, mereka berbuat sesuatu apa sahaja mengikut kehendak mereka adalah suatu yang jijik dan bahaya," katanya.

Jelasnya, perkara itu belum sampai tahap untuk membuat laporan polis tetapi beliau perlu mendedahkannya dan mempunyai bukti, jika tidak didedahkan mereka yang terlibat akan menjadi lebih berani.

Menurutnya, sebagai Ketua Polis Negara, beliau tidak mempunyai koloni atau orang-orang tertentu dalam pentadbirannya dan perbuatan seperti itu boleh membawa kehancuran dan memecahbelahkan PDRM.

"Ini orang Ketua Polis Negara, ini orang Timbalan Ketua Polis Negara, ini orang Pengarah. Saya tidak mahu wujud perkara dan keadaan seperti itu dalam pasukan. Ia akan menghancurkan dan menyebabkan pasukan berpecah.

"Tidak sampai hendak saya membuat laporan polis berhubung isu ini. Saya mahu 130,000 warga polis tahu bahawa perbuatan itu tidak baik. Saya mahu menyedarkan mereka jangan buat macam ini, kita bekerja sebagai satu pasukan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] 'Kartel dalam PDRM cuba jatuhkan saya'

Hamzah nafi wujud kartel dalam PDRM