Yeop lega aksi Liga Super ditunda

Kesebelasan Perak meraikan kejayaan menewaskan Kitchee SC, Selasa lalu. -Foto: Perak FA
Kesebelasan Perak meraikan kejayaan menewaskan Kitchee SC, Selasa lalu. -Foto: Perak FA
A
A
A

PERSATUAN Bolasepak Perak (PAFA) lega dengan pengumuman Malaysian Football League (MFL) yang menunda aksi Unifi Liga Super antara Perak dan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Cheras yang dijadualkan berlangsung esok ke tarikh baharu.

Presiden PAFA, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya juga merakamkan penghargaan kepada MFL kerana mempertimbangkan dan seterusnya permohonan untuk menunda perlawanan berkenaan.

“Untuk makluman, PAFA telah menghantar permohonan berkenaan pada 11.10 pagi semalam (Rabu) dan PAFA mengambil maklum MFL perlu melalui proses-proses tertentu termasuk mendapatkan persetujuan bersama pihak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan Ahli Lembaga Pengarah MFL sebelum meluluskan permohonan ini.

“Justeru, PAFA ingin menyatakan permohonan maaf secara terbuka di atas kenyataan awal dari pihak PAFA yang menyatakan MFL telah menolak permohonan itu,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Untuk rekod, pada pusingan ketiga kelayakan Perak bakal berdepan kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai di Stadium Ulsan Munsu pada 19 Februari ini.

Skuad The Bos Gaurus itu mara ke pusingan ketiga setelah berjaya menewaskan kelab Hong Kong, Kitchee SC, 6-5 menerusi penentuan sepakan 6 - 5 di Stadium Perak 12 Februari lalu, setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa tambahan.

Sementara itu, Ahmad Faizal turut menjelaskan PAFA tidak mendakwa MFL tidak melayan permohonan berkenaan sebagaimana yang dilaporkan di akhbar serta portal berita.

“Sekali lagi, PAFA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak MFL, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) atas segala jasa baik khususnya dalam memberikan pertimbangan dan kelulusan ke atas permohonan berkenaan biar pun permohonan ini dikemukakan dalam tempoh agak singkat sebelum perlawanan dengan Kuala Lumpur,” katanya.

Artikel Berkaitan: