Permaisuri Agong zahir penghargaan kepada petugas barisan hadapan

Tunku Azizah berkenan mengurniakan Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global kepada Petugas Barisan Hadapan kepada Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mewakili petugas barisan hadapan. - Foto FB Istana Negara.
Tunku Azizah berkenan mengurniakan Anugerah Merit Ibn Khaldun bagi Transformasi Sosial Peringkat Global kepada Petugas Barisan Hadapan kepada Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mewakili petugas barisan hadapan. - Foto FB Istana Negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Khamis menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kerja keras dan sumbangan cemerlang yang ditunjukkan petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19 serta menjadikan negara ini selamat.

Tunku Azizah bertitah, Covid-19 telah memberikan cabaran dan tekanan yang besar kepada kehidupan semua orang namun petugas barisan hadapan tetap cekal mencurahkan masa dan tenaga mereka untuk membendung pandemik itu.

“Pada majlis yang tidak dapat dilupakan ini, beta ingin menzahirkan rasa terhutang budi dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas sumbangan serta pengorbanan yang dilakukan oleh semua petugas barisan hadapan yang terus melaksanakan tanggungjawab mereka tanpa mengira kesulitan dan risiko terhadap kesihatan mereka.

“Terima kasih kerana begitu berdedikasi, berani dan tidak mementingkan diri sendiri untuk mengatasi cabaran yang sedang kita hadapi. Pada kesempatan ini, beta ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang telah secara sukarela membantu petugas barisan hadapan kita,” titah baginda.

Seri Paduka bertitah demikian ketika berucap sempena penyampaian Anugerah Merit Ibn Khaldun Bagi Transformasi Sosial Peringkat Global kepada Petugas Barisan Hadapan di Institut Antarabangsa Tamadun Islam dan Dunia Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (ISTAC-UIAM).

Tunku Azizah, yang juga Ketua Perlembagaan (Canselor) UIAM, bertitah bahawa baginda amat bangga Malaysia adalah antara negara pertama yang mengambil pelbagai tindak balas pantas dalam usaha melindungi rakyatnya daripada virus berbahaya itu.

Selain usaha yang dilakukan kerajaan, baginda bertitah banyak sumbangan telah dihulurkan rakyat Malaysia bagi mengatasi ancaman Covid-19.

“Beta amat berbesar hati untuk memberikan anugerah ini kepada petugas barisan hadapan sebagai simbol penghargaan, rasa terhutang budi serta pengiktirafan atas jasa dan usaha yang anda semua lakukan semasa wabak ini merebak dengan begitu pantas di negara kita dan seluruh dunia.

Artikel Berkaitan:

“Anugerah ini diharap dapat menaikkan semangat anda untuk terus bekerja keras dalam memerangi Covid-19 yang masih berterusan. InsyaALLAH,” titah Tunku Azizah.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menerima anugerah itu bagi pihak petugas barisan hadapan. - Bernama